Berita Semasa

Pasangan tular selamat langsungkan pernikahan

ALOR SETAR – Pasangan tular yang membawa anak kecil memakai alat pernafasan dengan menaiki motosikal kini sah bergelar suami isteri selepas dinikahkan di Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Kuala Kedah petang tadi.

Pernikahan Mohd Azlan Ishak, 36, dan Nor Hidayu Halim, 34, itu dikendalikan Imam Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer Mualim selepas solat Asar dengan sekali lafaz.

Azlan yang memakai baju sedondon dengan pasangannya memberi mas kahwin bernilai RM1,000 dan sebentuk cincin emas.

“Kami adakan majlis secara ringkas sahaja dan tiada hantaran diberi cuma bagi mas kahwin RM1,000 dan sebentuk cincin emas sahaja.

“Selain itu, kami juga bercadang untuk buat majlis kenduri secara kecil-kecilan di rumah keluarga pihak perempuan yang dijangkakan diadakan bulan depan,” kata Azlan.

Dalam pada itu, Muhammad Hazamer mengharapkan orang ramai agar terus memberikan sokongan kepada pasangan tersebut dalam perjalanan kehidupan mereka yang baharu.

“Mereka ini sudah berusaha untuk menghalalkan hubungan dan seharusnya kita menolong mereka dengan tidak berbicara yang buruk tentang status perkahwinan mereka ini.

“Selepas selesai urusan akad nikah ini, saya nasihatkan dia juga untuk selesaikan urusan nasab anaknya pula,” kata Muhammad Hazamer.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Masjid Al Maarufi Seberang Kota berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu memudahkan urusan pernikahan tersebut.

Terdahulu, pasangan terbabit tular selepas gambar mereka membawa bayi lelaki memakai alat bantuan pernafasan dengan menaiki motosikal.

Gambar tersebut telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button