Berita Semasa

Pasangan anak masalah pernafasan diarah berpisah sementara

ALOR SETAR – Pasangan yang tular membawa anak kecil dengan peralatan bantuan pernafasan menaiki motosikal diarahkan berpisah kerana tidak mempunyai ikatan perkahwinan.

Pasangan tersebut Mohd. Azlan Ishak, 35, dan Nor Hidayu Halim, 34, diarah menjalani faraq (dipisah) sementara oleh Pengerusi Qariah Masjid Al-Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer Muslim di sini, semalam.

Tindakan itu dibuat sementara menunggu proses pernikahan secara sah dilakukan selepas pendedahan mengenai pasangan itu yang sebenarnya bukan pasangan suami isteri.

Pendedahan mengenai perkara itu timbul selepas pihak masjid menafikan tohmahan orang ramai yang mendakwa tiada bantuan diberikan kepada pasangan tersebut.

Bagaimanapun, pasangan tersebut mendakwa mereka sebenarnya sudah membuat rancangan untuk berkahwin minggu depan tetapi terpaksa ditangguhkan kerana masalah kesihatan anaknya, .

Kisah ‘belakang tabir’ itu juga dikongsikan oleh bekas guru, Mohd Fadli Salleh atau Cikgu Fadli melalui hantaran di Facebooknya.

Beliau mendedahkan, pasangan tersebut telah lama bersekedudukan selepas Nor Hidayu ‘kehilangan’ suami kerana menjalani hukuman penjara.

“Bersekedudukan dengan pakwe. Orang kampung, pihak masjid pergi nasihat. Tapi tak layan. Lastnya mereka ambush kemudian hantar wanita ini ke rumah mak dia.

“Tak lama duduk rumah mak, ikut balik pak we dia. Ahli kariah selalu dah bantu mereka dari dulu. Dan katanya dua-dua penagih,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.

Dalam video yang tular sebelum ini, Mohd Azlan dan Nor Hidayu ditemubual sebagai ibu bapa kepada kana-kanak yang menghidap masalah paru-paru, limpa dan Refluks Gastroesophageal (Gerd).

Mohd Azlan berkata, ketika gambar dia dan isteri membawa anak ke hospital dengan menaiki motosikal, mereka hanya mempunyai duit RM12 sahaja di dalam poketnya.

Susulan itu, pasangan tersebut menerima bantuan wang tunai dan juga sebuah kereta daripada orang ramai yang bersimpati dengan nasib mereka menguruskan anak kecil.

Kisah mereka juga mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu keluarga berkenaan dibantu dengan segera.

Show More

Related Articles

Back to top button