BERITA SEMASA

Kes tertukar bayi di HTA selesai, siasatan dalaman dijalankan

KUALA LUMPUR – Insiden bayi tertukar secara tidak sengaja di sebuah wad di Hospital Tunku Azizah di sini telah diselesaikan dengan kedua-dua bayi terbabit diserahkan semula kepada ibu masing-masing dalam keadaan selamat.

Pengarah HTA, Dr. Shamsul Anuar Kamarudin dalam satu kenyataan berkata, pihak hospital mengambil tindakan segera sebaik sahaja kejadian itu disedari selain memberikan penerangan dan sokongan sewajarnya kepada keluarga yang terlibat.

Menurut beliau, hasil semakan awal mendapati tiada prosedur penyusuan atau rawatan yang menjejaskan keselamatan bayi berlaku sepanjang tempoh insiden tersebut.

“HTA memahami kebimbangan dan perhatian orang ramai susulan penyebaran perkara ini di media sosial.

“Pihak hospital telah mengambil tindakan segera mengikut prosedur yang ditetapkan serta memastikan aspek keselamatan dan kebajikan bayi-bayi yang terlibat sentiasa diberi keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata satu siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta menambah baik prosedur kerja sedia ada supaya insiden sama tidak berulang.

“HTA komited memastikan keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan dan amat menghargai kerjasama serta kefahaman semua pihak,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button