Berita Semasa

Dakwaan murid duduk atas lantai selama 5 bulan tidak tepat – JAIM

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu murid tahun tiga yang terpaksa belajar di atas lantai tanpa kemudahan kerusi dan meja di sebuah sekolah rendah agama di sini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, murid yang terpaksa duduk di lantai itu ditempatkan di kelas baharu yang baru dibuka.

“Keseluruhan ada 21 kelas di sekolah itu dan semuanya lengkap dengan perabot.

“Namun, kerana pertambahan murid, kelas baharu terpaksa dibuka,” katanya kepada media.

Rahmad juga menjelaskan, dakwaan bahawa murid tersebut belajar tanpa meja dan kerusi sejak lima bulan lalu tidak tepat kerana sesi persekolahan baru bermula pada Mac.

“Bukan lima bulan kerana sesi persekolahan bermula Mac. Kebajikan murid adalah keutamaan dan fokus kami, selain menjadi tanggungjawab menyediakan suasana selesa serta kondusif,” katanya.

Terdahulu, seramai 34 murid dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Ayer Merbau terpaksa duduk di atas lantai oleh kerana ketiadaan kerusi di sekolah tersebut.

Susulan itu, pada 16 Mei lalu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau membuat tinjauan mengejut ke sekolah berkenaan selepas menerima aduan daripada ibu bapa murid di sini.

ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau meluahkan rasa terkilan apabila melihat keadaan murid duduk di atas lantai beralaskan tikar dan hanya menggunakan rehal.

Show More

Related Articles

Back to top button