Penarikan balik sijil halal: Sin Sing Coffee tegaskan tiada kaitan
KUALA LUMPUR – Sin Sing Coffee Sdn Bhd menegaskan syarikat tersebut tiada kaitan dengan penarikan balik sijil halal selepas diserbu oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kerana menggunakan peralatan pembersihan yang tidak mematuhi piawaian halal.
Menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, maklumat dan gambar yang tular dalam media sosial adalah tidak berkaitan dengan pihaknya dan bukan merupakan persekitaran atau peralatan pengeluaran mereka.
“Syarikat kami hanya menumpukan kepada pengeluaran produk kopi dan tidak menghasilkan sebarang produk biskut.
“Syarikat kami mematuhi piawaian dan keperluan pensijilan Halal Malaysia. Semua proses pengeluaran kami adalah selaras dengan garis panduan kebersihan dan syariah yang ditetapkan,” katanya.
Pada masa sama katanya, status halal syarikat itu adalah masih sah dan diiktiraf.
Katanya, semakan boleh dibuat melalui portal rasmi Halal Malaysia di https://myehalal.halal.gov.my/portal-halal/v1/ dengan carian “Sin Sing Coffee”.
“Syarikat kami telah beroperasi selama lebih 67 tahun dan sentiasa komited dalam menghasilkan produk berkualiti serta memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
“Kami menyeru orang ramai agar tidak mempercayai maklumat yang tidak disahkan atau membuat sebarang spekulasi yng boleh menimbulkan salah faham,” katanya.
Semalam JAIM mengesahkan menarik balik sijil halal sebuah syarikat kopi dan biskut selepas menggunakan peralatan yang mempunyai unsur babi.
Bagaimanapun kenyataan tersebut tidak menyebut syarikat mana hingga menimbulkan spekulasi dalam kalangan masyarakat Islam kerana terdapat tujuh syarikat kopi beroperasi di Melaka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








