
Turkish Aerospace buka pejabat operasi di Malaysia
CYBERJAYA– Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merasmikan hab pejabat operasi Turkish Aerospace Malaysia (TUSAS), di sini hari ini.
Menurutnya, ia merupakan pusat reka bentuk pengilang peralatan asal aeroangkasa (aerospace OEM design centre) pertama di Malaysia.
“Apa yg kita dapat saksikan adalah kewujudan TUSAS dapat meningkatkan lagi kemampuan dan keupayaan kita dalam pembuatan dan teknologi aeroangkasa.
“Kehadiran syarikat ini juga menjadi perangsang kepada pertubuhan dan pembangunan lebih dari 50 syarikat rangkaian pembekalan dalam industri ini, meliputi sektor penting seperti elektrik dan elektronik, peralatan dan alat ganti jentera, pembuatan logam dan produk besi dan keluli,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Hub Pejabat Operasi TUSAS, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace, Prof Temel Kotil dan Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel.
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa pembukaan syarikat berkenaan turut memberi peluang pekerjaan kepada seramai 120 orang termasuk jurutera sebagai permulaan.
Tambah beliau, pembukaan syarikat itu juga memainkan peranan penting untuk negara, mencerminkan hubungan istimewa antara Malaysia dan Turki.
Sebelum ini, TUSAS Malaysia mula beroperasi sebagai pusat kejuruteraan komponen aeroangkasa (Engineering Design Center) pada 2021.
Kini, skop syarikat telah berkembang melibatkan rekacipta avionik dan struktur pesawat, penyumberan modul dan komponen, pemasangan akhir komponen dan hab penyumberan pembuatan bahagian utama pesawat.
“Kehadiran pejabat TUSAS di Malaysia itu bukan sahaja menyumbang kepada pengukuhan industri pertahanan negara, malah melibatkan juga industri aeroangkasa secara amnya.
“Kementerian Pertahanan di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin komited untuk memacu agenda pembangunan industri pertahanan, aeroangkasa dan keselamatan Malaysia ke hadapan,” jelas TUSAS dalam satu kenyataan.
Sementara itu, TUSAS juga merupakan salah satu pemain industri yang dapat menyumbang untuk merealisasikan sasaran Pelan Tindakan Dasar Pertahanan Negara (Defense Industry Blueprint) dan Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2055 atau dikenali sebagai CAP55 (Capability Development 55).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








