BERITA SEMASA

Menteri Pertahanan sempurnakan projek kampung angkat MADANI-MINDEF

KOTA TINGGI – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini hadir menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek di bawah Program Kampung Angkat MADANI – Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Kampung Baru Pasak, dekat sini.

Di bawah inisiatif ini, sebanyak 10 projek menaik taraf, pembinaan baharu, baik pulih serta projek tanaman dilaksanakan di kampung tersebut, dan memanfaatkan lebih 600 penduduk daripada 152 isi rumah.

Keseluruhan projek ini dilaksanakan oleh kontraktor tempatan dengan keutamaan diberikan kepada kontraktor Bumiputera bagi menyokong ekonomi setempat.

Ketibaan Mohamed Khaled disambut Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus yang kemudiannya turut mengiringi Menteri Pertahanan melawat projek yang telah berjaya disiapkan termasuk surau dan balai raya baharu bagi kegunaan penduduk kampung tersebut.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datin Roszanina Wahab.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM; Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai; dan Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki.

Mohamed Khaled kemudiannya turut menyerahkan bantuan kepada komuniti setempat termasuk Inisiatif Perumahan Veteran ATM (Baik Pulih Rumah), Sumbangan Bantuan Bakul Makanan, Bantuan Komuniti, serta Bantuan Persekolahan.

Pemilihan Kampung Baru Pasak sebagai Kampung Angkat MADANI – MINDEF adalah berdasarkan kemudahan asas yang masih di bawah 50 peratus.

Dibawah inisiatif Kerajaan Persekutuan ini, setiap kampung angkat menerima peruntukan sehingga RM2.5 juta bagi memastikan capaian liputan kemudahan asas, kemudahan masyarakat dan capaian internet dapat dipertingkatkan di kawasan desa.

Khusus bagi projek Kampung Baru Pasak, MINDEF memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM50 ribu bagi projek penanaman cendawan.

Turut berlangsung hari ini, satu karnival mini melibatkan penyertaan MINDEF, ATM, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Pejabat Daerah Kota Tinggi (PDKT), serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi diadakan dan melibatkan penyertaan sekitar 250 orang penduduk kampung.

Karnival ini menawarkan pelbagai aktiviti seperti pertukaran 200 unit terawal topi keledar percuma, pertandingan mewarna, anyaman ketupat, permainan Kon dan Ring, Batu Seremban, Timbang Raga dan Boling Kelapa.

Selain itu, ATM turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan pergigian serta program kerohanian iaitu Kursus Pengurusan Jenazah dan Klinik Surah Al-Fatihah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button