MCMC tambah baik kemudahan internet di Pulau Kapas, Pulau Gemia
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengumumkan langkah baharu untuk memperbaiki kemudahan internet di Pulau Kapas dan Pulau Gemia, Terengganu.
Menurut MCMC, langkah tersebut diambil bagi membantu pertumbuhan dan pembangunan industri pelancongan di kawasan tersebut yang telah menjadi destinasi utama untuk pelancong tempatan dan pelancong asing.
“Industri pelancongan memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi sosio-ekonomi di Terengganu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, baru- baru ini satu pertemuan antara MCMC dan Persatuan Peniaga dan Pengusaha Pelancongan Pulau Kapas dan Gemia, membincangkan keperluan meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi, terutamanya rangkaian internet di kedua-dua pulau tersebut.
Katanya, Pulau Kapas menikmati liputan jalur lebar 4G daripada enam penyedia perkhidmatan, manakala Pulau Gemia masih menghadapi cabaran dengan rangkaian internet yang terhad.
“MCMC akan mengenalpasti lokasi yang sesuai untuk memperluaskan liputan internet, dengan menitikberatkan aspek keselamatan dan tindak balas kecemasan.
“Penambahbaikan ini dijangka memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pelancong yang berkunjung ke Pulau Kapas dan Pulau Gemia,” katanya.
Sehubungan itu, para pengusaha bot, resort, dan peniaga tempatan dijangka akan mendapat manfaat dengan peningkatan kemudahan internet, membolehkan mereka menjana pendapatan harian dengan lebih berkesan.
“MCMC berharap usaha penambahbaikan ini akan memberi dorongan kepada industri pelancongan setempat dan merangsang pertumbuhan ekonomi di Terengganu,” ujarnya lagi.