BERITA SEMASA

Mara tawar tajaan kepada 2,000 pelajar

GERIK – Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperuntukkan RM2 bilion untuk tajaan 2,000 pelajar dalam pengajian peringkat Ijazah Sarjana (Master) dan Ijazah Kedoktoran (PhD) tahun ini.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Dusuki berkata, permohonan untuk tajaan belajar di dalam dan luar negara itu dibuka pada 7 Mei ini kepada mereka yang berkelayakan.

“Mara akan meneruskan tajaan pendidikan untuk memperkasakan pelajar-pelajar Bumiputera.

“Komitmen untuk menghantar pelajar-pelajar mengikuti pengajian sama ada di peringkat Sarjana dan PhD ini adalah satu pelaburan masa depan yang baik untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Hari MARA Bersama Rakyat 2024 dan Rumah Terbuka Aidilfitri Daerah Kecil Pengkalan Hulu di Dataran Arena di sini, hari ini.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, Mara tidak meletakkan sebarang kuota terhadap kemasukan pelajar Orang Asli ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau sekolah berasrama penuh di negara ini.

Katanya, pendekatan itu dianggap adil selain memberi peluang kepada semua pelajar berkelayakan tanpa mengira latar belakang.

“Saya mengambil pendekatan tidak ada kuota tetapi memberi keutamaan kepada mereka (pelajar Orang Asli).

“Kalau kita letak kuota macam kita mengehadkan peluang mereka. Secara dasarnya, kita nak pastikan lebih ramai boleh masuk MRSM termasuk Orang Asli,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button