Jenayah & Mahkamah

Dakwaan kes pedofilia di sekolah, Polis Kelantan kenal pasti penulis

KOTA BHARU – Polis Kelantan sudah mengenal pasti identiti penulis satu surat layang yang mendakwa berlaku kes pedofilia membabitkan seorang guru di sebuah sekolah berasrama penuh di negeri ini, baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya mendapati penulis tersebut adalah seorang wanita, dan dakwaan dibuatnya masih tetap disiasat secara telus dan adil walaupun tiada sebarang laporan diterima.

Tambahnya, antara siastan dilakukan termasuk mengenal pasti individu yang dimaksudkan dalam surat tersebut, dan menyiasat latar belakangnya.

“Pihak kami akan berusaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin dan sudah ramai saksi yang dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Apabila terjadinya hal seperti ini, ia akan menjejaskan karier seseorang guru dan kami meminta supaya jangan membuat spekulasi yang bukan-bukan kerana perkara ini masih lagi dalam siasatan,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya Op Selamat 22/2024 Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Hadapan Balai Polis Binjai, di sini.

Media sebelum ini melaporkan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membuat siasatan secara menyeluruh berhubung dakwaan seorang guru terbabit dengan kes pedofilia terhadap pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh yang dikelolakan institusi itu.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan dari Ibu Pejabat MARA akan ke sekolah berkenaan bagi menyiasat kesahihan dakwaan berkenaan.

Menurutnya, guru berkenaan juga sudah digantung tugas sehingga siasatan selesai.

Show More

Related Articles

Back to top button