BERITA SEMASA

Garis panduan berniaga dari rumah diputuskan – KPKT

KUALA LUMPUR – Garis Panduan Kawal Selia Perniagaan Dari Rumah akan berperanan sebagai asas dan panduan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dalam melaksanakan pematuhan dan penguatkuasaan aktiviti perniagaan dari rumah.

Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), garis panduan itu tercetus ekoran daripada penambahan usahawan mikro akibat penularan pandemik COVID-19 yang menjejaskan punca pendapatan sebilangan besar rakyat.

“Aspek-aspek utama yang dirangkumkan dalam garis panduan tersebut adalah ciri-ciri perniagaan dari rumah, pelan lokasi dan keluasan kebenaran berniaga, syarat dan tatacara permohonan lesen perniagaan serta perincian aktiviti perniagaan yang dibenarkan.

“Perancangan ini adalah sejajar dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan yang inklusif menjelang tahun 2030 yang merancakkan perniagaan mikro dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu berlangsung Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) Ke-82 pada hari ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen.

Yang hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; exco-Exco kerajaan negeri, menteri-menteri persekutuan yang berkaitan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Sebanyak empat kertas telah dibentangkan merangkumi tiga kertas pertimbangan dan satu kertas makluman.

Dalam pada itu mesyuarat itu turut bersetuju dengan Garis Panduan Perancangan Tapak Perkhemahan (GPPTP).

Katanya, garis panduan ini bertujuan untuk dijadikan panduan kepada pengguna, pengusaha dan pihak berkuasa negeri (PBN) serta PBT dalam merancang dan memastikan tapak-tapak perkhemahan yang digunakan selamat, mampan serta mematuhi perundangan yang berkuat kuasa.

Pada masa sama, katanya, Garis Panduan Star Rating Kebersihan Tandas Kegunaan Awam di kawasan PBT yang telah diguna pakai selama ini telah ditambah baik dengan penambahan mekanisme pemantauan dan pemeriksaan secara kendiri.

“Anugerah Toilet of The Year (TOTYA) 2023 telah memperlihatkan penyertaan yang menggalakkan melalui 345 penyertaan dan sebanyak lima kategori telah dipertandingkan iaitu hotel, pusat beli belah, kawasan rehat dan rawat (R&R), stesen minyak dan restoran dengan menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala dan sijil.

“Selari dengan hasrat yang sama, MNKT-82 turut bersetuju dengan Garis Panduan
Pengurusan dan Penarafan Bintang Tandas Awam di Malaysia,” ujarnya.

Selain itu, katanya, mesyuarat itu juga mengambil maklum mengenai Status Pewartaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS 1984) (Pindaan 2021) oleh PBN dan PBT.

Katanya, UKBS 1984 adalah perundangan subsidiari di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang bertujuan bagi menyeragamkan undang-undang berkaitan pemajuan bangunan di negeri-negeri di Semenanjung.

“UKBS 1984 ini telah dipinda dari 1991 sehingga yang terkini adalah pada tahun 2021 di mana pindaan ini adalah bertujuan bagi memenuhi keperluan semasa selaras dengan dasar-dasar baru yang dilaksanakan.

“Pindaan terkini pada tahun 2021 telah melibatkan sebanyak 114 pindaan yang melibatkan kategori-kategori utama pemajuan. Susulan itu, adalah perlu
bagi kesemua negeri di Semenanjung mewartakan pindaan semasa supaya
perkhidmatan yang diberikan di peringkat PBT adalah seragam,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button