BERITA SEMASA

KPKT perkukuh Agenda Bandar Pintar dan Mampan dengan MUO Analytics Centre

PUTRAJAYA – Malaysia Urban Observatory (MUO) Analytics Centre (MAC), iaitu satu platform pemantauan berasaskan data yang menyokong pendekatan perancangan berasaskan bukti telah dilancarkan hari ini oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Menurut Kor Ming, inisiatif berimpak tinggi itu menandakan lonjakan dalam bidang perancangan bandar berasaskan data raya (big data) dan analitik, sekali gus membuktikan komitmen kementeriannya untuk menambah nilai perancangan, tadbir urus pembangunan serta operasi bandar.

“MUO menggunakan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Big Data untuk mengintegrasikan pelbagai platform data raya bagi merangka penyelesaian yang tepat, cepat dan komprehensif dalam merancang pembangunan bandar.

“Ia bukan sekadar repositori datatetapi merupakan langkah strategik untuk memperkukuh salah satu daripada lapan bidang fokus utama KPKT iaitu agenda bandar mampan dan pintar ke arah perbandaran baharu melalui pembangunan MUO Planning Big Data Towards Smart Nation 2040,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran MUO di Bilik MUO Analytics Centre PLANMalaysia, di sini, hari ini.

Ketua Pengarah PLANMalaysia Datuk TPr Dr. Alias Ramel memberi taklimat mengenai Malaysia Urban Observatory (MUO) Analytics Centre (MAC). – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, sebanyak RM28 juta telah diperuntukkan bagi pembangunan MUO fasa satu bermula tahun 2021 dan pada asalnya dirancang akan selesai pada tahun 2025.

Walau bagaimanapun, Kor Ming berkata, bahawa sistem tersebut telah siap sepenuhnya lebih awal daripada jadual yang ditetapkan

Justeru itu, katanya, fokus MUO pada tahun depan akan tertumpu kepada pemurnian dan pengujian sistem dan kemaskini data bagi memastikan operasi berjalan lancar dengan kemasukan data-data yang tepat dan terkini.

“Sistem ini merangkumi 10 modul utama dan 72 submodul dengan infrastruktur data disokong oleh Pusat Data Sektor Awam, Jabatan Digital Negara.

“Sehingga kini, 34 agensi kerajaan dan swasta telah bekerjasama dalam perkongsian data, termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Kerja Raya, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Bahagian Perancangan Perumahan KPKT dan lain-lain agensi.

“Sistem ini kini memiliki lebih daripada 200 jenis data pelbagai format dan telah menghasilkan 80 dashboard analitik. Daripada jumlah ini, 25 peratus adalah bersifat high-value analytics yang akan membantu aktiviti perancangan dan urus tadbir bandar menjadi lebih tepat dan proaktif.

“Ini bermakna setiap keputusan perancangan kini dapat dibuat berdasarkan analitik yang teliti dan maklumat yang tepat, yang akhirnya akan mempercepatkan penyelesaian isu-isu bandar dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam,” ujarnya.

Majlis Pelancaran Malaysia Urban Observatory (MUO) Analytics Centre (MAC) di Putrajaya hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Kor Ming menambah, melalui MUO dan pelbagai sistem digital dalaman, sebanyak 10 juta lot maklumat guna tanah melibatkan keseluruhan keluasan Semenanjung Malaysia 13.18 juta hektar tanah telah dicerap dan dikemas kini.

Jelas beliau, melalui pengintegrasian data, Sistem Maklumat Guna tanah Perancangan Bersepadu (I-Plan) dapat membantu semua pemegang taruh mengurus sumber tanah dengan lebih efisien dan efektif dan seterusnya mempercepatkan proses kelulusan dan perancangan pembangunan.

“Proses cerap dan kemas kini dilakukan melalui Sistem Maklumat Guna tanah Perancangan Bersepadu (I-Plan) yang boleh diakses oleh agensi, pemaju, pelabur dan orang awam pada bila-bila masa.

“Tiga jenis lapisan data guna tanah perancangan boleh diakses merangkumi guna tanah semasa, guna tanah zoning dan guna tanah komited,” katanya lagi.

@malaysiatribune

Malaysia Urban Observatory (MUO) ialah platform pemantauan berasaskan data yang menyokong pendekatan perancangan berasaskan bukti (data driven, evidence-based planning). Ia menggunakan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Big Data untuk mengintegrasikan pelbagai platform data raya bagi merangka penyelesaian yang tepat, cepat dan komprehensif dalam merancang pembangunan bandar, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. #malaysiatribune #kpkt #bandar

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button