BERITA SEMASA

Permohonan Biasiswa Tunku Abdul Rahman dibuka esok

PUTRAJAYA – Permohonan Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR) akan dibuka bermula esok sehingga 8 April ini.

Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataan berkata, biasiswa ini dibuka sempena ulang tahun Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang ke-121.

“Biasiswa ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang ingin atau sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di universiti awam atau swasta merangkumi pelbagai bidang.

“Sejak tahun 2007, Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) telah menganugerahkan
BTAR kepada lebih 400 orang pelajar yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di pelbagai universiti tempatan awam dan swasta dengan anggaran peruntukan lebih RM50 juta,” katanya.

Dalam pada itu katanya, YTAR telah ditubuhkan pada tahun 1966 di bawah Akta Parlimen dengan objektif awal untuk menyokong belia melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi.

Katanya, BTAR adalah biasiswa komprehensif yang berfungsi sebagai platform untuk membentuk pemimpin muda yang komited untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

“Biasiswa ini terbuka kepada pelajar yang berasal daripada pelbagai latar belakang di Malaysia, terutama daripada komuniti kurang berkemampuan.

“Selain penilaian daripada aspek akademik dan kokurikulum, pelajar turut akan dinilai melalui ciri-ciri kepimpinan, keupayaan untuk mengatasi cabaran serta hasrat untuk menyumbang semula kepada negara.

Sementara itu Menteri Perpaduan Negara
Datuk Aaron Ago Dagang, berkata beliau berharap agar YTAR terus meningkatkan akses pendidikan tinggi terutama kepada golongan yang kurang bernasib baik rentas agama dan bangsa di samping mengetengahkan pembangunan kepimpinan berasaskan nilai dalam kalangan belia.

Aaron Ago Dagang

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak lebih 30 biasiswa ditawarkan pada tahun ini dengan anggaran peruntukan sebanyak RM4 juta.

BTAR menawarkan sembilan jenis elaun untuk meringkan beban pelajar dalam
menjalani pengajian termasuk tajaan penuh yuran pengajian, elaun sara hidup,
elaun pembangunan diri, elaun buku, elaun alat tulis, elaun komputer riba, elaun tesis, elaun pakaian rasmi dan elaun tiket penerbangan.

Selain itu, BTAR turut menawarkan program pembangunan kepimpinan selama dua tahun.

Para pelajar yang berminat untuk memohon BTAR boleh melayari laman web YTAR di www.yayasantar.org.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button