Sukan

Malaysia layak ke separuh akhir Piala Dunia Hoki 5 sebelah

MUSCAT – Skuad Hoki 5 sebelah lelaki Malaysia berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Kejohanan FIH Hoki 5s Piala Dunia (Lelaki) 2024 selepas meraih kemenangan 5-4 ke atas Trinidad dan Tobago pada aksi suku akhir yang berlangsung hari ini.

Kejayaan itu sekali gus menempatkan pasukan negara di kelompok empat pasukan terbaik dunia.

Di pentas separuh akhir, Malaysia akan bertemu Poland sementara satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan tuan rumah Oman dengan Belanda di mana kedua-dua aksi ini akan berlangsung pada awal pagi nanti (waktu Malaysia).

Walaupun Malaysia dikejutkan terlebih dahulu dengan jaringan lawan pada minit keenam menerusi gol Akim Toussaint, ia tidak mematahkan semangat skuad negara untuk bangkit mengejar kembali kedudukan 1-1 menerusi kapten pasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit kesembilan.

Seminit kemudian, Trinidad dan Tobago sekali lagi berjaya mendahului perlawanan menerusi Mickell Pierre namun Malaysia kembali membalas dengan jaringan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran pada minit ke-12.

Seminit sebelum aksi separuh masa pertama berakhir, Trinidad dan Tobago menjaringkan gol ketiga mereka kali ini menerusi Tariq Marcano dan kedudukan Trinidad dan Tobago dihadapan, 3-2 menutup aksi separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, selepas asakan demi asakan yang diatur oleh pasukan negara, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee berjaya menyumbang jaringan penyamaan pada minit ke-17 sebelum minit ke-22, giliran Malaysia untuk memimpin perlawanan menerusi Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin.

Aksi dramatik dengan kedua-dua pasukan saling membalas serangan dapat dilihat pada lima minit terakhir perlawanan dan Malaysia berjaya menjaringkan gol kelima pada minit ke-25 menerusi Syarman Mat Tee sebelum Trinidad dan Tobago dilihat terus mengasak kubu negara untuk meledak gol.

Beberapa saat sebelum aksi sebenar berakhir, Trinidad dan Tobago menjaringkan gol keempat mereka menerusi Teague Marcano namun jaringan tersebut tidak cukup untuk menghalang Malaysia daripada melangkah ke separuh akhir selepas perlawanan tamat dengan kemenangan 5-4 berpihak skuad negara.

Penjaring gol keempat Malaysia pada perlawanan ini, Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin menyifatkan pengalaman yang pernah diraih ketika beraksi di Sukan Olimpik Remaja Argentina 2018 sedikit sebanyak membantu pasukannya untuk beraksi dengan baik.

“Kami berusaha keras dan cuba untuk bermain dengan bijak. Kami juga mempunyai kepercayaan yang tinggi sebagai satu pasukan bahawa kami mampu untuk mendapatkan kemenangan pada perlawanan suku akhir ini.

“Untuk aksi separuh akhir, kami akan bermain seperti biasa dengan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih dan kami percaya perlawanan yang sengit akan berlangsung pada separuh akhir nanti dan kami berharap kami mampu untuk meraih kemenangan,” jelasnya.

Malaysia akan turun bertemu Poland pada jam 1:30 awal pagi ini (waktu Malaysia) bagi merebut slot final.

Show More

Related Articles

Back to top button