BERITA SEMASASUKAN

Ranking Speedy Tigers jatuh bukan penamat, peluang bangkit masih terbuka – Mirnawan

SHAH ALAM – Kejatuhan ranking skuad hoki lelaki kebangsaan baru-baru ini bukan sesuatu yang mengejutkan, kata legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi.

Menurut Mirnawan yang lebih dikenali sebagai ‘The Boss’ hoki Malaysia, ia sebaliknya adalah sebahagian daripada proses pembinaan pasukan baharu menjelang Olimpik 2028.

Menurut beliau, penurunan prestasi itu dijangka berlaku memandangkan barisan Speedy Tigers kini dalam fasa peralihan, namun beliau optimis akan ada peningkatan ketara bermula tahun depan apabila skuad muda negara lebih mantap dan berpengalaman.

“Jatuh sedikit bagi saya itu sudah dijangka kerana pasukan kebangsaan dalam satu fasa membina pasukan yang baharu untuk Olimpik 2028. Ya, memang kita jangkakan dalam satu fasa itu ranking akan menurun sedikit.

“Tapi kita harap selepas satu tahun lebih, iaitu tahun depan, kita mahu lihat peningkatan yang drastik. Tahun depan (2026) kita ada kelayakan Piala Dunia dan kita mahu lihat peningkatan dalam kalangan pemain-pemain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas dalam satu majlis pengumuman Mirnawan sebagai duta rasmi Gel Amani di sini hari ini.

Gel Amani merupakan produk ubat sapuan yang terkenal sebagai produk pilihan untuk membantu melegakan sakit otot dan sendi seperti tengkuk, bahu, pinggang dan lutut.

Terdahulu, dua keputusan kurang memberangsangkan dalam aksi pembukaan Piala Negara-Negara FIH 2025 bulan lalu telah memberi kesan ketara kepada kedudukan ranking negara.

Kegagalan itu menyaksikan skuad negara jatuh ke ranking ke-15 dunia, iaitu kedudukan terendah sejak tahun 2008, sekali gus mencetuskan keresahan dalam kalangan peminat hoki tempatan.

Sebagai rekod, Malaysia pernah menghuni kelompok 10 pasukan terbaik dunia dua tahun lalu di bawah kendalian A. Arul Selvaraj.

Bagaimanapun, berdasarkan kemas kini terkini oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) hari ini, Speedy Tigers kembali naik ke tangga ke-12 dunia dengan kutipan 1961.80 mata, di belakang Ireland.

Jelas Mirnawan, setiap perlawanan adalah peluang untuk mengutip mata penting yang boleh membantu melonjakkan kedudukan pasukan di pentas antarabangsa.

“Setiap perlawanan mesti ada dapat point. Jadi, jika selepas ini Malaysia bertemu dengan pasukan-pasukan yang berada dalam ranking yang tinggi, pasukan negara harus menang dan dapat point yang tinggi, sekali gus mampu lonjakkan kedudukan ranking berbanding sekarang,” ujarnya.

Beliau turut menggesa agar pemain diberikan ruang dan masa mencukupi untuk memperbaiki prestasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button