Jenayah & Mahkamah

Tukang urut didakwa lakukan amang seksual remaja

KUALA LUMPUR – Seorang tukang urut lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki yang hilang di Hulu Bernam, Selangor, awal bulan ini.

Tertuduh, Hamid Khan Samoon, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 16 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan, di sini pada jam 8 malam, 1 Januari hingga 10 Januari lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung kakak yang sudah tiada suami.

“Saya menanggung kakak saya, anak dia (kakak) sudah meninggal dunia, kakak saya mengharapkan saya sangat-sangat,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Kafli membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki direman selama tujuh hari selepas dipercayai terbabit dalam kes dua beradik yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Bernam Jaya, Hulu Selangor, sejak 1 Januari lalu.

Polis menerima laporan daripada seorang remaja lelaki berusia 16 tahun jam 2.48 pagi, 12 Januari lalu yang mendakwa dicabul dan diliwat seorang lelaki di sebuah hotel di Jalan Sultan.

Bertindak atas maklumat itu, pihak polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes terbabit di hadapan sebuah hotel di lokasi kejadian.

Media melaporkan dua beradik lelaki dilaporkan hilang pada 1 Januari lalu dan mendakwa dikurung dalam sebuah motel di Jalan Petaling, di sini, oleh individu tidak dikenali.

Malah, remaja itu mendakwa selama dikurung bersama adiknya, mereka diperlakukan tidak baik sebelum dipisahkan pada 9 Januari lalu.

Bagaimanapun, remaja itu berjaya melarikan diri sebelum ditemui dalam keadaan tidak bermaya di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni, di sini, pada 11 Januari lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button