Berita Semasa

Sumbangan bagi pengebumian Nurhaslinda sudah mencukupi – Abang

CYBERJAYA – Sumbangan orang ramai bagi membantu meringankan kos pengebumian jenazah rakyat Malaysia, Allahyarhamah Nurhaslinda Abdullah, 30, yang meninggal dunia di Korea Selatan pada Isnin lalu, sudah mencukupi.

Perkara itu dikongsi oleh abang Allahyarhamah, Abdul Hafiz yang memaklumkan, dia dan keluarganya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua penyumbang yang membantu meringankan beban mereka sekeluarga dalam menguruskan jenazah adiknya.

“Allah SWT sahaja yang mampu membalas kebaikan semua (penyumbang),” katanya.

Abdul Hafiz memberitahu, sumbangan yang diterima kini sudah mencecah RM38,000.

Beliau turut meminta orang ramai berhenti menyumbang kerana kos yang diperlukan untuk urusan pengebumian adiknya itu sudah lebih daripada mencukupi.

Sebelum ini Nurhaslinda dilaporkan ke Korea Selatan pada September lalu untuk bekerja di kilang negara itu, namun difahamkan mengalami sesak nafas dan meninggal dunia pada Isnin lalu.

Terdahulu, Abdul Hafiz memberitahu keluarga mereka bersetuju untuk mengebumikan jenazah adiknya di negara berkenaan kerana kos membawa pulang jenazah terlalu mahal.

Katanya, keluarganya memerlukan RM31,000 bagi urusan pengebumian.

Show More

Related Articles

Back to top button