JENAYAH & MAHKAMAH

Kes pelajar maut dilanggar dan diseret, keluarga mangsa lantik peguam pastikan keadilan dilaksana

IPOH – Keluarga pelajar lelaki yang meninggal dunia akibat dilanggar dan diseret kereta yang didakwa dipandu seorang pegawai kanan polis pada Jumaat lalu, sudah melantik peguam untuk mewakili mereka mengambil tindakan undang-undang.

Kakak mangsa, Nur Zawanie Muhd Zamrie, 28, berkata, langkah itu merupakan usaha pihak keluarga memastikan keadilan dalam kes berkenaan dapat terlaksana sebaiknya.

Menurutnya, buat masa ini, pihaknya sedang mengumpul segala bukti dan video kejadian itu untuk diserahkan kepada peguam.

“Sudah ada saksi dan beberapa video, semua itu sudah diserahkan kepada peguam yang dilantik untuk uruskan, tetapi saya merayu ihsan semua terutama mereka yang masih ada video kejadian, berikan kepada keluarga supaya dapat dijadikan bukti.

“Sebagai wakil keluarga, saya hanya minta semua rakyat Malaysia mendoakan keadilan buat adik saya, letakkanlah sedikit rasa simpati kepada keluarga kami ini,” katanya pada satu sidang akhbar khas di kediamannya di Taman Chepor Sentosa, di sini hari ini.

Keluarga berkenaan melantik peguam menerusi Syarikat Guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM).

Menurut Pengarah Bersama syarikat guaman tersebut, Datuk Wan Azmir Wan Majid, pihaknya akan melihat kepada dua perkara dalam siasatan kes itu iaitu berkaitan perlakuan jenayah dan tuntutan sivil terhadap mangsa.

“Tugasan kami untuk memastikan siasatan dibuat secara telus dan kami juga diarahkan untuk melihat tindakan sivil terhadap suspek sama ada kerajaan atau polis juga adalah pihak-pihak yang perlu kami ambil tindakan.

“Tindakan sivil itu termasuklah pampasan sewajarnya yang dapat diberikan atas kematian arwah,” katanya lagi.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button