
Rafizi cabar pempengaruh ‘YB Viral’ debat di podcast
KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli telah menghantar surat terbuka kepada pempengaruh propembangkang yang dikenali sebagai ‘YB Viral’ untuk menghadiri Podcast “Yang Bakar Menteri”.
Menurut Timbalan Presiden PKR itu, adalah satu ancaman besar kepada negara terhadap budaya menyebarkan pembodohan yang kini diperturunkan kepada rakyat biasa yang meletakkan diri mereka sebagai pempengaruh.
Kata beliau, dengan adanya platform media sosial terutamanya Tiktok, pempengaruh kini berleluasa menyebarkan fitnah dan pembohongan.
“Mereka akan memainkan sentimen demi sentimen yang tidak memberikan gambaran dan perspektif sebenar, yang akhirnya memesongkan kefahaman rakyat mengenai satu-satu perkara.
“Apabila ditanya di Parlimen, pemimpin politik mereka sendiri tidak boleh menjawab. Saya selalu bertanya kepada ahli-ahli Parlimen PN tentang ukuran ekonomi yang mereka gunakan sebagai bukti kepada dakwaan mereka ekonomi telah merudum. Mereka tergagap-gagap dan tersipu-sipu seperti kerengga yang lari bertempiaran.
Tambah Rafizi, budaya menyebarkan pembohongan sewenang-wenangnya sebenarnya mendedahkan ramai rakyat Malaysia kepada tindakan undang-undang.
“Sesiapa yang menyebarkan perkara fitnah sebegitu, boleh diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan jika ada laporan polis dibuat. Mereka juga boleh disaman secara sivil.
“Lebih berbahaya, netizen yang membuat komen kepada kandungan-kandungan pempengaruh ini, yang menambah lagi pembohongan dan kebencian, juga boleh diambil tindakan undang-undang.
“Akhirnya, seperti lazimnya, ramai walaun-walaun yang terdedah mati katak dalam perjuangan sedangkan pimpinan mereka kaya-raya dengan kereta besar, pangkat dan pencen mereka,” katanya lagi.
Justeru, beliau berkata, budaya tersebut perlu ditangani dan cara menanganinya adalah supaya pimpinan politik sepertinya berdepan sendiri dengan rakyat dalam satu sesi untuk menjawab dan bertanya.
“Rakyat tanya saya jawab, saya tanya kepada rakyat (untuk berkongsi pemahaman), maka wajarlah rakyat jawab,” ujarnya lagi.
Berdasarkan surat jemputan tersebut,
Podcast ‘Yang Bakar Menteri’ itu akan diadakan pada 8 Januari 2024 atau satu tarikh yang dipersetujui secara bersama oleh kedua-dua pihak dan akan disiarkan secara langsung menerusi media sosial Rafizi Ramli.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















