JENAYAH & MAHKAMAH

Dua anggota polis cedera, kereta peronda terbabas elak monyet

KUALA BERANG – Dua anggota polis cedera selepas kereta peronda dinaiki mereka terbabas lalu terbalik akibat mengelak sekumpulan monyet yang melintas jalan di Kilometer 4, Jalan Simpang Bukit Kepah–Tapah, Kampung Kepah, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima laporan mengenai nahas membabitkan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu itu kira-kira pukul 4.30 petang.

Sharudin memaklumkan, kemalangan tersebut mengakibatkan pemandu, Muhammad Amirul Hafiz Ahmad, 26, patah tangan kiri manakala rakan setugasnya, Khairil Azlan Abdul Latif, 44, mengalami kecederaan serta kesakitan pada bahagian rahang.

Beliau berkata, kemalangan berlaku sewaktu kedua-dua anggota terbabit sedang menjalankan tugasan rondaan rutin dengan menaiki kenderaan peronda jenis Honda City dari arah Simpang Kepah menghala ke Kuala Berang.

“Siasatan awal mendapati, kenderaan berkenaan tiba-tiba bertembung dengan sekumpulan monyet yang berada di tengah jalan. Pemandu dipercayai cuba mengelak haiwan liar itu dengan membelok ke kanan, namun hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik beberapa kali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sharudin menambah, siasatan di lokasi kejadian turut menunjukkan faktor permukaan jalan yang basah akibat hujan serta struktur laluan berselekoh turut mempengaruhi kemalangan berkenaan.

Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu dengan bantuan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menerima rawatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button