Berita Semasa

Fahmi zahir rasa ‘kecewa’ tiada duta bertaraf menteri

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil secara berseloroh menzahirkan kekecewaan beliau terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak melantik duta bertaraf menteri dalam rombakan Kabinet baru-baru ini.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu,
pelantikan jawatan tersebut adalah satu pembaziran yang pernah dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

“Saya rasa ada yang kecewa termasuk diri saya sendiri bahawa Perdana Menteri kali ini langsung tidak membuat lantikan duta bertaraf menteri… yang dibayar elaun berpuluh-puluh ribu ringgit tapi langsung tidak menghasilkan apa-apa seperti yang berlaku (dalam kerajaan) sebelum ini.

“Saya kecewa, tapi Alhamdulillah amalan buruk itu tidak dilakukan pada kali ini,” katanya secara sinis dalam satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta untuk mengulas dakwaan pembangkang yang mengatakan rombakan Kabinet pada Selasa itu sebagai satu pembaziran.

Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan rombakan Jemaah Menteri kali ini adalah jauh lebih baik dari segi jumlah keupayaan dan pengalaman.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengajak pembangkang untuk tampil ke meja rundingan bagi mencari jalan penyelesaian bersama.

“Bagi mereka yang kecewa, saya nasihatkan jangan pendam rasa kecewa, tampillah ke meja rundingan seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, kita putuskan beberapa perkara, kita hidup berharmoni, rukun aman damai dan bentuk ‘modus vivendi’ yang baharu supaya kita dapat fokus kepada masalah rakyat serta bangun bersama,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button