Kenyataan berbaur perkauman: Fahmi mahu rujuk Ahmad Marzuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil akan merujuk Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang berkaitan di Dewan Rakyat berhubung satu kenyataannya yang berbaur hasutan.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Madani berkata, ia susulan kenyataan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu bahawa cadangan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, supaya Akta Anti Diskriminasi Kaum digubal, mampu meningkatkan ketegangan dan berkemungkinan berulangnya rusuhan berdarah 13 Mei 1969.
Fahmi berkata, kenyataan Ahmad Marzuk yang dilihat seolah-olah percubaan hasutan itu akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang berkaitan di Dewan Rakyat, memandangkan perkara itu dibincangkan ketika persidangan Parlimen.
“Saya juga akan bawa perkara itu kepada perhatian Kabinet kerana ini seperti satu percubaan hasutan. Sebagai Ahli Parlimen, beliau (Ahmad Marzuk) sepatutnya lebih bijak dan jangan mengapi-apikan sentimen dan cuba bangkitkan hal seperti ini,” katanya.
Terdahulu beliau merasmikan Impact Comm 2025: Shaping Corporate Communication for Impact di sini hari ini.
Sementara itu mengenai Impact Comm 2025: Shaping Corporate Communication for Impact, Fahmi berkata, ia dirangka untuk memperkasakan golongan profesional komunikasi dengan kemahiran, strategi dan pandangan yang diperlukan bagi mengharungi cabaran komunikasi korporat moden.
Persidangan itu menghimpunkan pemimpin industri, pakar komunikasi, dan ahli strategi untuk meneroka kuasa transformasi komunikasi strategik dalam membentuk reputasi korporat, mempengaruhi persepsi awam, dan memacu kejayaan perniagaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








