BERITA SEMASA

Pemuda UMNO Johor gesa Peguam Negara berundur

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar digesa berundur secara terhormat susulan dakwaan ketidakcermatan dan kelalaian dalam menguruskan pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan berhubung pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, tindakan itu wajar bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti berikutan laporan polis yang dibuat terhadap Peguam Negara.

Menurutnya, Pemuda UMNO Johor kecewa dengan cara pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan bertarikh 18 September 2026 itu, yang didakwa tidak cermat sehingga menimbulkan persoalan mengenai kedudukan sebenar keputusan berkenaan.

“Pengendalian perkara ini jelas tidak cermat serta memberi gambaran seolah-olah wujud niat untuk mengetepikan keputusan Lembaga Pengampunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketidakcermatan itu turut dilihat apabila Istana Negara dan Pejabat Perdana Menteri terpaksa mengeluarkan kenyataan masing-masing pada 7 November 2026 bagi menjelaskan kedudukan sebenar perkara berkenaan.

Sehubungan itu, Noor Azleen berkata Peguam Negara perlu memikul tanggungjawab atas apa yang didakwa sebagai ketidakcermatan dan kelalaian dalam pelaksanaan keputusan tersebut.

“Tambahan pula, laporan polis telah dibuat terhadap beliau.

“Bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti, adalah lebih wajar Peguam Negara berundur daripada jawatannya,” katanya.

Dalam pada itu, Pemuda UMNO Johor menjunjung kasih atas kenyataan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung keputusan Lembaga Pengampunan pada 18 September 2026 mengenai pengurangan hukuman terhadap Najib.

Menurut Noor Azleen, kenyataan Istana Negara pada 7 November lalu membuktikan bahawa Seri Paduka Baginda telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kecacatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button