PH tawar manfaat tanah terbiar untuk pertanian moden, tarik anak muda
MELAKA – Pakatan Harapan (PH) mahu memanfaatkan tanah-tanah terbiar untuk kegiatan ekonomi dan pertanian moden sebagai sebahagian daripada aspirasi Melaka Rumah Kita.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, tawaran itu adalah antara 12 aspirasi yang dikemukakan PH serta tiga fokus utama yang terkait dengan teknologi, keperluan sara hidup dan industri pelancongan.
“Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan (JPPH) merakamkan penghargaan atas sambutan cukup hangat daripada masyarakat terhadap kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Melaka, semalam.
“Keterujaan orang ramai bertemu dan menyapa Perdana Menteri menyemarakkan lagi suasana program sepanjang kunjungan beliau ke Melaka.
“Semangat ini menguatkan lagi tekad PH untuk membawa tawaran yang menjawab keperluan penduduk serta masa depan Melaka,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan Melaka, di sini, hari ini.
Adly berkata, berdasarkan Bancian Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, keluasan bertanam di Melaka adalah sebanyak 77,965 hektare bagi tahun rujukan 2023.
“Angka itu menunjukkan asas pertanian yang sedia ada untuk diperkukuhkan lagi melalui pengaktifan kawasan yang lebih sesuai, pengurusan sumber air dan penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan hasil pertanian negeri,” katanya.
Menurutnya, kesinambungan sektor itu turut memerlukan penyertaan generasi baharu apabila bancian yang sama merekodkan 55 peratus pemegang pertanian individu di Melaka berumur 60 tahun ke atas, manakala golongan berusia antara 15 hingga 30 tahun hanya merangkumi 2.4 peratus.
“Oleh itu asas kepada tapak perlu disertai dengan latihan praktikal, peralatan bersesuaian dan bimbingan perniagaan supaya anak muda mampu membina usaha tani yang berdaya maju,” katanya.
Adly berkata, pengeluaran pula mesti dirancang mengikut permintaan pasaran dan hubungan antara petani, pemborong, pasar dan peruncitan perlu diperkukuh supaya hasil mempunyai pembeli, pembaziran dapat dikurangkan dan pengusaha memperoleh pulangan yang munasabah.
“Bekalan tempatan yang lebih stabil juga dapat membantu mengurangkan risiko gangguan bekalan makanan yang membebankan perbelanjaan keluarga,” katanya.
Menurutnya, hampir 50 peratus daripada pengusaha pertanian di Melaka berusia lebih daripada 60 tahun dan langkah ke hadapan harus bersifat strategik dengan memberi peluang lebih banyak kepada generasi muda untuk mengusahakan bidang pertanian.
“Kita tahu bahawa cabaran dalam bidang pertanian adalah skala dari segi pelaksanaan projek-projek pertanian di samping peluang kepada anak muda untuk mereka mendapatkan tanah-tanah pertanian ini termasuk tanah-tanah terbiar untuk mereka mengusahakan program-program dan juga inisiatif-inisiatif yang terkait dengan pertanian,” katanya.
Adly berkata, JPPH menegaskan pemberian akses kepada tanah negeri mesti berasaskan kepada syarat yang jelas, pilihan telus dan pemantauan berkala.
“Keutamaan wajar diberikan kepada mereka yang sedia mengusahakannya dengan kemajuan projek dinilai melalui kawasan yang diaktifkan serta hasil yang dikeluarkan.
“Tanah ialah aset rakyat, pengurusannya mesti membawa manfaat yang berkekalan kepada rakyat negeri Melaka,” katanya.
Adly berkata, Melaka menerima hampir 18 juta pengunjung secara purata setiap tahun, namun sebahagian hasil pertanian sama ada diimport atau dibawa dari luar Melaka.
Menurutnya, keadaan itu sebenarnya memberikan peluang banyak kepada usahawan tani tempatan jika disusun dengan baik untuk keperluan sektor pelancongan dan sektor makanan yang lain.
“Melaka bukan sahaja kalau kita lihat dari segi sektor pertanian bukan sahaja untuk kegunaan domestik kita tapi sebenarnya ianya juga boleh pergi sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














