Longkang konkrit pecah punca banjir kilat di UiTM Puncak Alam
SHAH ALAM – Hujan lebat berterusan hampir tiga jam menyebabkan struktur konkrit longkang pecah sebelum air melimpah dan mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam di Kuala Selangor.
Rektornya, Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman berkata, hasil tinjauan mendapati aliran air yang terlalu deras susulan hujan lebat menyebabkan kerosakan pada struktur longkang berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kesemua 16 kolam tadahan air di dalam kampus itu didapati berfungsi dengan baik, manakala keadaan kini kembali normal.
“Kerja-kerja pembaikan akan segera dilakukan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan warga kampus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 5 petang.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati keadaan banjir di kawasan terbabit terkawal dengan paras air menunjukkan trend semakin surut.
“Tiada mangsa dilaporkan dan tiada operasi pemindahan dilakukan,” katanya memetik laporan Bernama.
Terdahulu, beberapa kawasan di kampus berkenaan dilaporkan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat, menyebabkan beberapa lokasi dinaiki air sehingga menjejaskan pergerakan kenderaan.
Kejadian itu turut dikongsikan beberapa pengguna media sosial menerusi aplikasi Threads yang memaparkan keadaan banjir di sekitar kampus berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














