Ujian sebenar kepimpinan terserlah ketika buat keputusan sukar – Dr Mohd Fauzi
SHAH ALAM – Ujian sebenar bagi seorang pemimpin bukan sekadar dinilai melalui keupayaan meraih kepercayaan atau menyatukan orang ramai, sebaliknya terserlah apabila perlu membuat keputusan sukar yang mungkin tidak dipersetujui oleh semua pihak.
Pengerusi MZR Group Sdn Bhd merangkap pemegang amanah Yayasan Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Fauzi Shaffie berkata, kepimpinan tidak wajar diukur semata-mata berasaskan kemampuan memberi inspirasi kepada pengikut atau menyatukan mereka di sebalik matlamat bersama.
Perkara itu dikupas menerusi buku terbaharunya, DUCK Leadership yang dilancarkan oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam satu majlis, di sini hari ini.
“Ciri-ciri seperti memberi inspirasi dan menyatukan orang ramai mungkin bernilai, tetapi ia tidak mencukupi. Seseorang pemimpin mungkin mampu memberi inspirasi kepada ribuan orang, namun masih membawa organisasi ke arah yang salah.
“Malah, pemimpin juga mungkin berjaya menyatukan orang ramai di sebalik sesuatu perjuangan tanpa mempertimbangkan kesan daripada tindakan tersebut dengan sewajarnya,” katanya selepas majlis pelancaran tersebut.
Buku berkenaan menggariskan empat tanggungjawab saling berkaitan menerusi kerangka DUCK, iaitu Direction (Hala Tuju) yang merujuk kepada tujuan keputusan; Unity (Penyatuan) mengenai kerjasama pelbagai kepentingan; Connection (Hubungan) yang meneliti pihak terkesan; serta Keystone (Prinsip Teras) yang menyentuh aspek integriti, batasan dan kebertanggungjawaban.
Menurut beliau, kerangka tersebut bukan bertujuan menggantikan pendekatan sedia ada atau menetapkan jawapan mutlak bagi setiap dilema, sebaliknya berfungsi sebagai kaedah untuk membantu pemimpin menilai serta mengimbangi pertimbangan bertentangan dalam persekitaran yang tidak menentu.
Karya yang dibangunkan berasaskan pengamatan dan pengalaman lebih empat dekad Dr Mohd Fauzi dalam sektor perniagaan, pendidikan serta latihan organisasi itu kini dijual pada harga RM69 (tidak termasuk kos penghantaran) dan boleh didapati secara dalam talian menerusi store.sorient.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












