Pendaki negara kongsi pengalaman dalam naskhah MISI K2
GOMBAK – Selepas hampir dua tahun menjejakkan kaki ke puncak gunung paling sukar di dunia, pendaki altitud tinggi negara, Mohd Khafiz Bachok, baru-baru ini melakar satu lagi kejayaan melalui perkongsian pengalamannya dalam naskhah buku, MISI K2.
MISI K2 mengisahkan cabaran pendakian Ironman Malaysia berusia 47 tahun itu menakluk puncak K2 yang terletak di Banjaran Karakoram, Pakistan.

Mohd Khafiz yang lebih dikenali sebagai Kicok berkata, buku tersebut bukan sekadar sebuah naskhah penting dalam pencapaian peribadinya tetapi mampu menjadi panduan dan rujukan kepada pendaki pada masa akan datang.
“Buku ini memberi peluang kepada peminat dunia kembara dan pendakian menelusuri pengembaraan saya menakluk puncak K2 dari awal sehingga akhir.
“Segalanya mengenai perancangan, persediaan, pengorbanan sehinggalah bagaimana saya berdepan cabaran sehingga akhirnya mengecapi kejayaan berada di puncak kedua tertinggi selepas Everest,” katanya pada majlis pelancaran MISI K2 di Perpustakaan M. Kamal Hassan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini semalam.

Pelancaran buku terbitan syarikat Bonda Nor Sdn. Bhd. itu disempurnakan oleh Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM, Prof. Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin.
Hadir sama, dua pendaki Gunung Everest pertama negara, Datuk M. Magendran, Datuk N. Mohandas dan Ketua Pegawai Eksekutif Bonda Nor Sdn. Bhd., Bonda Nor.
Secara peribadi katanya, segala pengalaman yang dicoretkan dalam buku itu menyaksikan beberapa kali beliau mencurahkan air mata, terutama apabila mengenangkan pengorbanan insan-insan terdekat yang sentiasa memberi sokongan.

“Apabila membaca semula tulisan ini saya masih merasa dada yang menghimpit, tekak terasa berat dan hati yang betul-betul pilu.
“Di akhirnya saya sedar kegembiraan sebenar bukanlah ketika berada di puncak tetapi selepas melihat kegembiran individu di sekeliling saya,” katanya yang turut mengorbankan rumah dan perniagaannya dalam mencapai cita-citanya itu.
Katanya, pendakian puncak K2 merupakan sebahagian daripada misi ZEROTO8000 yang digerakkan dengan cabaran berbasikal dari Tanjung Piai di Johor menuju ke kaki Gunung K2.
Sementara itu, Bonda Nor ketika ditemui pada majlis itu berkata, penerbitan MISI K2 menjadi naskhah unik kerana tidak banyak kisah seumpamanya diterbitkan di negara ini.

“Topik ini amat jarang disentuh dalam dunia penulisan. Tidak ramai mampu mendaki gunung, apatah lagi mendokumentasikan perjalanan mereka dalam bentuk bermanfaat dan penuh hikmah.
“Ia sekali gus mengisi kelompongan dan memberi peluang kita melihat dunia dari perspektif seorang pendaki yang menjadikan Allah sebagai sumber kekuatan dan pedoman utama,” katanya.
Beliau berkata, buku setebal 700 muka surat yang dicetak penuh warna itu dilengkap dengan flap depan dan belakang yang menjadikannya koleksi yang bernilai premium.

Buku MISI K2 dijual pada harga RM89 senaskhah. Pembaca juga boleh melihat sendiri video pendakian yang disertakan melalui kod QR di dalam buku tersebut.
Pembelian boleh dibuat melalui penulis sendiri atau pasukan Dropshipper Bonda Nor di seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 011-23215587.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



