Khafiz Al Kicok dan MISI K2: Menawan gunung, menyentuh jiwa
TATKALA ramai memilih media sosial sebagai pentas berkongsi kisah, Khafiz Al Kicok atau nama sebenarnya Mohd Khafiz Bachok, 48, memilih pena dan kertas.
Bagi beliau, buku memiliki roh dan hayat yang lebih panjang untuk menyampaikan inspirasi, bukan sekadar untuk hari ini tetapi untuk generasi akan datang.
Melalui MISI K2, Ironman Malaysia ini bukan sahaja mendokumentasikan pengalaman ekstrem menawan Gunung K2 tetapi turut menyuntik unsur spiritual, kekeluargaan, persahabatan dan perjuangan diri yang jarang dipaparkan dalam dunia penulisan tempatan.

K2 merupakan gunung kedua tertinggi dan paling berbahaya di dunia.
Buku itu setebal 700 muka surat yang diterbitkan oleh Bonda Nor Sdn. Bhd.
“Saya sangat teruja kerana akhirnya ada medium kekal untuk saya sampaikan inspirasi kepada anak-anak muda. Media sosial akan hilang, tapi buku akan kekal,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Menurut Kicok, buku tersebut bukan terhasil dalam sehari dua.
Ia adalah naskhah yang dibentuk di tengah deru angin sejuk dan di bawah bayang puncak bersalji.
Bermula dari Argentina pada 2016, manuskripnya pernah tertangguh, sebelum disambung semula ketika beliau berada di Nepal pada 2022.

Namun puncaknya adalah pada tahun 2023 apabila 90 peratus kandungan buku ini ditulis di atas Gunung K2 dan baki 10 peratus disempurnakan beberapa bulan lalu selepas bertemu penerbit, Bonda Nor.
“Saya ambil masa hampir sembilan tahun siapkan buku ini. Saya janji pada ayah untuk menyiapkannya dan Alhamdulillah, saya berjaya tepati janji itu,” katanya yang juga merupakan ejen Takaful dan YouTuber.
Lebih daripada sebuah catatan ekspedisi, MISI K2 adalah refleksi jiwa.
Ia menzahirkan perasaan kerdil seorang manusia di hadapan gunung yang agung, serta kebergantungan mutlak kepada Tuhan dalam menempuh cabaran hidup.
“Saat sampai ke puncak Gunung K2, saya rasa diri sangat kecil berbanding gunung yang begitu besar.
“Memang tak rasa kita ni hebat. Malah kalau saya mati kat situ pun tak ada siapa akan bantu.
“Itu maksudnya betapa kecilnya kita di sisi makhluk Allah seperti gunung, apatah lagi di sisi Allah Yang Maha Besar,” ungkapnya.

Kicok yang kini mempunyai empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan menyimpan harapan agar buku ini bukan sahaja menjadi warisan buat anak-anaknya, tetapi juga pemangkin semangat buat seluruh rakyat Malaysia.
“Harapan saya terhadap buku MISI K2 ini, ia memberi kesan kepada mereka supaya mereka bersemangat untuk mencapai impian masing-masing.
“Saya inginkan rakyat Malaysia pergi sejauh mungkin di peringkat dunia untuk membuktikan bahawa kita juga setanding dengan orang luar.
“Saya juga mahu rakyat Malaysia tahu bahawa kita juga sama tinggi dan setaraf dengan apa yang boleh dilakukan orang Barat,” tegasnya.
Bukan mudah menyiapkan sebuah buku berjiwa seperti ini. Namun Khafiz percaya segala yang berlaku dalam hidupnya adalah aturan Allah yang begitu cantik dan penuh hikmah.

“Saya selalu rasa hidup ini perjalanannya sangat indah. Daripada saya jumpa minat ini, jumpa kawan-kawan yang sama minat, jumpa isteri yang minat mendaki juga, bekerja dikelilingi orang yang sama minat, bila saya nak mendaki, ramai yang menyokong.
“Saya nampak benda ni Tuhan dah berikan jalan itu. Saya hanya sehelai daun yang hanyut di sebatang sungai.
“Segala-galanya mengikut apa saja yang dirancang. Kadang ia tenggelam, kadang ia timbul, tapi apa pun ia akan sampai ke muara.
“Jadi, kita jangan risau pasal diri kita kerana semuanya dah dirancang Tuhan.
“Apa yang kita risau adalah adakah kita ini akan memberi kebaikan kepada makhluk lain, menjadi baja, menjadi makanan pada ikan atau menjadi sampah begitu sahaja,” ungkapnya penuh makna.
Majlis pelancaran MISI K2 disempurnakan oleh Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin di Perpustakaan M. Kamal Hassan, UIAM pada 8 Mei lalu.

Hadir sama dua ikon pendakian negara, Datuk M. Magendran dan Datuk N. Mohandas iaitu rakyat Malaysia pertama yang berjaya menawan Gunung Everest.
Sementara itu, isteri Kicok, Syuaibatul Islamiah Roeswardhi, 46, mengakui, dia sentiasa memberi sokongan penuh buat suaminya meskipun adakala risau akan keselamatan diri lelaki itu.
“Mungkin sebab kami sama-sama minat mendaki, malah kenal juga ketika menyertai satu aktiviti pendakian, jadi saya sangat faham apa yang suami rasa.
“Apa yang pasti, setiap kali suami menjalani ekspedisi mendaki gunung yang sukar dan berbahaya termasuk K2, hanya doa yang mampu saya titipkan buatnya.
“Sebagai umat Islam, kita kena yakin dan meletakkan sepenuh pergantungan kepada-Nya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Bonda Nor memberitahu, naskhah MISI K2 dihasilkan dengan penuh teliti dan kasih sayang agar dapat menjadi teman jiwa buat mereka yang sedang mencari kekuatan dan pengharapan.
BACA : Pendaki negara kongsi pengalaman dalam naskhah MISI K2
“Topik ini amat jarang disentuh dalam dunia penulisan. Tidak ramai mampu mendaki gunung, apatah lagi mendokumentasikan perjalanan mereka dalam bentuk bermanfaat dan penuh hikmah.
“Alhamdulillah, sebagai penerbit, saya sangat bersyukur dapat hasilkan naskhah yang bukan sahaja menarik dan sarat manfaat, malah tampil dengan kualiti fizikal yang eksklusif,” katanya.

Bagi Kicok, kejayaan bukan datang daripada kekuatan fizikal semata-mata, tetapi gabungan semangat kental, sokongan keluarga, restu ibu bapa dan yang paling utama doa kepada Allah.
“Nasihat saya kepada pendaki, mereka cuma perlu ada semangat dan kemahuan, berani mulakan langkah pertama dan jangan separuh jalan, usaha sungguh-sungguh untuk berjaya.
“Doa dan juga restu orang tua amat penting dalam menentukan kejayaan dan menjadikan saya seperti hari ini,” ujarnya yang turut teruja apabila berpeluang menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAK) 2025 sebagai penulis baru-baru ini.
Kini Kicok sedang giat menjalani beberapa siri latihan dan merancang untuk ke Switzerland pada bulan September ini sebagai persediaan untuk misi pendakian ke Gunung Ama Dablam di Nepal tahun depan.

Semangat yang tidak pernah luntur ini jelas membuktikan bahawa pencapaian luar biasa bukan hanya milik segelintir, tetapi milik sesiapa yang berani bermimpi dan terus melangkah.
Kicok salah seorang daripadanya.
Buku MISI K2 dijual pada harga RM89 senaskhah dan dilengkapi dengan kod QR untuk menonton video sebenar pendakian.
Pembelian boleh dibuat melalui penulis atau pasukan Dropshipper Bonda Nor di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 011-2321 5587.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


