Ketelusan penganjur PBAKL dipersoal berkait isu tempahan reruai
KUALA LUMPUR – Isu tempahan reruai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila Bonda Nor Sdn Bhd mendakwa tempahan reruai mereka dibatalkan secara tiba-tiba walaupun telah mengikut prosedur yang ditetapkan.
Pengarah Urusan syarikat itu, Norli Madlan berkata, pihaknya telah menerima pengesahan tempahan reruai yang berjaya melalui sistem pendaftaran rasmi kelmarin.
Namun, pada keesokan harinya, mereka dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa tempahan tersebut dibatalkan kerana ia dibuat dua minit lebih awal daripada waktu yang ditetapkan iaitu pukul 12 tengah hari.

“Kami telah menerima pengesahan tempahan berjaya dan telah menyemak kesahihannya dengan pegawai yang terlibat. Namun, alasan yang diberikan adalah kerana kami membuat tempahan dua minit lebih awal.
“Jika itu benar, mengapa sistem tidak diatur untuk hanya membenarkan tempahan selepas waktu yang ditetapkan?” kata Norli atau lebih dikenali sebagai Bonda Nor dalam satu kenyataan di Facebook.
Pihak penganjur memaklumkan bahawa undian semula akan dilakukan untuk sepuluh pempamer lain yang turut mengalami pembatalan tempahan.
Bagaimanapun, pihak syarikat mendakwa mereka tidak menerima sebarang panggilan atau pemberitahuan rasmi mengenai proses tersebut sehingga satu e-mel diterima pada jam 10 malam, meminta mereka bersedia untuk masuk ke sistem tempahan pada jam 10.30 malam.
“Kami hanya menyedari e-mel tersebut pada jam 10.40 malam. Bukan sahaja kami tidak dihubungi seperti yang dijanjikan, malah tempoh masa yang diberikan amat singkat. Lebih mengejutkan, selepas kami menyemak semula sistem, hampir kesemua reruai telah penuh kecuali beberapa kawasan yang diketahui sukar menarik pengunjung,” tambah beliau.
Isu ini bertambah mencurigakan apabila penganjur mendakwa hanya dua syarikat terlibat dalam undian semula iaitu Bonda Nor dan Nurani Mutiara LTD, sedangkan sebelum itu mereka dimaklumkan bahawa terdapat sepuluh syarikat yang perlu melalui proses tersebut.
Dalam usaha mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak penganjur, mereka mendakwa telah menerima reaksi yang kurang profesional apabila salah seorang wakil penganjur berkata, “Jangan ugut-ugut saya!” apabila mereka meminta penjelasan dan menyatakan hasrat untuk membuat aduan rasmi sekiranya perkara ini tidak dapat diselesaikan secara adil.

Insiden ini menimbulkan persoalan mengenai ketelusan penganjur dalam menguruskan tempahan reruai bagi PBAKL iaitu sebuah acara perbukuan bersifat mega bagi negara.
Bonda Nor berharap agar pihak penganjur tampil memberikan penjelasan yang munasabah dan memastikan proses tempahan diuruskan secara lebih telus pada masa akan datang.
Sehingga kini, pihak penganjur masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai dakwaan tersebut.
Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Penawaran Reruai PBAKL 2025 telah mengumumkan pembatalan semua tempahan reruai yang dilakukan bermula 26 Disember 2024 susulan gangguan teknikal yang tidak dijangka.
Dalam satu kenyataan ketika itu, JKPR PBAKL 2025 memaklumkan gangguan tersebut berpunca daripada serangan BOT dan pertindihan tempahan reruai yang menjejaskan sistem.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








