BERITA SEMASADALAM NEGERI

PBAKL 2025 kembali semarak dunia perbukuan tanah air

SAIDINA Ali ibn Abi Talib RA pernah mengungkapkan kata-kata berbunyi: “Ikatlah ilmu dengan menulis.”

Ungkapan penuh hikmah ini menjadi cerminan kepada semangat yang dizahirkan dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang membuka tirainya hari ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Reruai Anjung Bonda Nor, salah seorang pempamer pada PBAKL 2025 ini terletak di depan pintu masuk Dewan Tun Razak 3.

Memasuki edisi ke-42 penganjurannya, pesta buku tahunan terbesar negara itu terus menjadi medan utama dalam menghimpunkan para pencinta ilmu, pengarang, penerbit dan penggiat industri perbukuan dari dalam dan luar negara demi menyemarakkan budaya membaca dan menulis.

Tahun ini, PBAKL menyaksikan penyertaan sebanyak 1,172 reruai, melibatkan 258 syarikat, termasuk 230 pempamer tempatan dan 28 pempamer antarabangsa.

Lima pavilion khas dan empat pentas aktiviti turut disediakan, menampilkan pelbagai sesi ilmu, wacana dan pelancaran buku sepanjang acara berlangsung.

Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron menyifatkan pesta itu sebagai ruang terbuka buat seluruh keluarga merasai ‘hari raya’ dunia perbukuan.

“Ini adalah satu pesta buku keluarga – daripada bayi, bagaimana ibu nak besarkan anak-anak kecil, untuk remaja, untuk sekolah, orang dewasa dan pesara, semua jenis buku ada. Semua genre ada. Novel, buku healing dan banyak lagi.

“Dalam dunia perbukuan ini, PBAKL adalah Hari Raya Buku. Kita adakan pelbagai aktiviti menarik. Antaranya, sesi bersama Datuk M. Nasir dan Nasir Jani untuk membincangkan falsafah di sebalik lirik lagu, bersempena pelancaran buku khas Nasir Jani,” katanya dalam satu temubual bersama stesen radio Suria awal pagi tadi.

Mohd Khair berucap di pentas utama pada hari pertama pembukaan PBAKL 2025.

Menurut beliau, antara pembaharuan menarik tahun ini ialah program ‘Teroka di Tingkat 5 iaitu galeri interaktif yang mempamerkan naskhah klasik seperti Sulalatus Salatin dan Sejarah Melayu, di samping memaparkan perkembangan sejarah dunia buku di Malaysia melalui pendekatan fizikal dan digital.

PBAKL 2025 juga menyediakan empat buah pentas iaitu Pentas Utama di aras 2, Pentas Dunia Buku di Dewan Merdeka, Pentas Dunia Ilmu di Dewan Tun Razak 3 dan Pentas Plaza Merdeka berhampiran kawasan parkir di Bangunan Dewan Merdeka.

Pelbagai jenis buku ditawarkan termasuklah bagi golongan pelajar.

“Kesemua pentas ini akan dimeriahkan dengan pelbagai sesi diskusi buku, forum, bual bicara, persembahan seni dan juga pelancaran karya baharu,” katanya.

Apa yang pasti, penganjuran PBAKL 2025 ini merupakan simbol kemajuan tamadun dan budaya ilmu yang berterusan.

Antara program diskusi buku yang diadakan di pentas utama PBAKL 2025.

Malah, ia juga diiktiraf dunia apabila disenaraikan antara 12 festival sastera terbaik global oleh portal Zicasso dari Silicon Valley sebaris dengan festival buku terkemuka dunia seperti Edinburgh, Frankfurt dan Jaipur, menurut laporan Berita Harian.

PBAKL 2025 berlangsung bermula 23 Mei hingga 1 Jun bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam. Masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web klibf.my/v2/.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button