Laporan polis lewat 441 hari antara faktor Da’i Syed dibebaskan
PUTRAJAYA – Kelewatan pengadu membuat laporan polis selama 441 hari selepas kejadian menjadi antara faktor yang dipertimbangkan Mahkamah Rayuan sebelum melepas dan membebaskan pendakwah selebriti, Da’i Syed daripada sabitan merogol seorang wanita pada 2019.
Keputusan majoriti 2-1 itu dibuat selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, berdasarkan keseluruhan rekod rayuan termasuk komunikasi antara kedua-dua pihak sebelum dan selepas kejadian.
Hakim Datuk Azman Abdullah ketika membacakan penghakiman majoriti berkata, mahkamah mendapati mahkamah terdahulu melakukan kekhilafan serius dan tersalah arah dalam membuat dapatan sehingga mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.
Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas didapati bersalah merogol wanita berusia 23 tahun di sebuah bilik kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, kira-kira pukul 1.35 pagi pada 11 September 2019.
Azman berkata, mahkamah turut meneliti kelakuan mangsa sebelum, semasa dan selepas kejadian, termasuk komunikasi antara mangsa dengan perayu menerusi aplikasi WhatsApp dan Instagram.
Menurutnya, pihak pembelaan tidak menafikan berlakunya hubungan seks antara perayu dan mangsa, sebaliknya berhujah bahawa hubungan itu dilakukan atas kerelaan wanita terbabit.
BACA JUGA:
Mahkamah Rayuan lepas dan bebaskan Da’i Syed daripada tuduhan rogol
Antara perkara yang dibangkitkan pembelaan ialah mangsa dikatakan mempunyai beberapa peluang untuk meninggalkan perayu atau mendapatkan bantuan, termasuk ketika mereka makan bersama di sebuah restoran selama kira-kira tiga jam.
Pembelaan turut berhujah bahawa mangsa tidak membalas panggilan dan mesej daripada rakan serumahnya ketika berada di ruang tamu rumah perayu selama kira-kira 30 minit, selain tidak menunjukkan usaha melarikan diri atau menjerit meminta pertolongan.
Menurut penghakiman itu, mangsa juga memilih untuk bermalam di rumah perayu sebelum pulang keesokan harinya menggunakan perkhidmatan e-hailing Grab, selain menghantar mesej memaklumkan bahawa dia selamat tiba.
Azman berkata, rekod komunikasi antara September hingga Disember 2019 turut menunjukkan mangsa beberapa kali memulakan perbualan, mendapatkan perhatian perayu, memujinya dan mengajak lelaki itu berjumpa lagi.
Beliau berkata, pembelaan berhujah laporan polis hanya dibuat pada 25 November 2020, iaitu 441 hari selepas kejadian, ketika komunikasi antara kedua-dua pihak semakin renggang dan isu berkenaan mula tular di media sosial.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah bahawa kelewatan membuat laporan polis telah dijelaskan menerusi keterangan psikiatri, termasuk keadaan emosi mangsa yang mengalami trauma serta kesukaran memahami proses perundangan.
Mahkamah turut meneliti latar belakang kesihatan mental mangsa yang mempunyai sejarah kemurungan dan pernah menerima rawatan psikiatri. Mangsa sebelum ini disahkan mengalami gangguan kemurungan major dengan simptom keresahan serta diberikan ubat bagi merawat kemurungan dan menstabilkan emosinya.
Azman berkata, faktor kemurungan atau kenaifan mangsa bagaimanapun tidak boleh secara automatik digunakan untuk menafikan kerelaan dalam hubungan seks.
“Elemen utama kesalahan rogol adalah ketiadaan kerelaan mangsa. Oleh kerana perbuatan persetubuhan diakui perayu, isu yang perlu dibuktikan pendakwaan melampaui keraguan munasabah ialah sama ada ia berlaku tanpa kerelaan mangsa.
“Selepas meneliti keseluruhan rekod rayuan serta hujahan bertulis kedua-dua belah pihak, mahkamah berpendapat pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” katanya.
Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Syed Shah Iqmal dan mengetepikan sabitan serta hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen serta disahkan Mahkamah Tinggi.
Beliau dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











