JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Rayuan lepas dan bebaskan Da’i Syed daripada tuduhan rogol

PUTRAJAYA – Pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, menangis selepas Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019.

Keputusan itu dibuat menerusi penghakiman majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, manakala Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menentang keputusan berkenaan, memetik laporan Kosmo!.

Ketika membacakan penghakiman majoriti, Azman berkata sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat, sekali gus membenarkan rayuan yang dikemukakan.

Dengan keputusan itu, hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum ini turut diketepikan.

Da’i Syed yang berada di kandang tertuduh dilihat tidak dapat menahan sebak dan menangis sejurus keputusan berkenaan diumumkan.

Pada prosiding rayuan 3 Ogos lalu, pihak pembelaan berhujah Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika mensabitkan anak guam mereka, termasuk dalam membuat dapatan bahawa pengadu adalah seorang wanita naif.

Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Datuk M. Athimulan turut berhujah dapatan itu bercanggah dengan keterangan pengadu yang menyatakan dirinya seorang dewasa matang serta mampu menjaga keselamatan diri.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim menegaskan perbuatan seksual berkenaan dilakukan tanpa persetujuan dan kerelaan mangsa.

Pada 23 Januari lalu, Da’i Syed diperintahkan menjalani hukuman penjara serta-merta selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan terhadapnya.

Bagaimanapun, pada 14 Februari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan pembebasannya sementara selepas 21 hari menjalani hukuman penjara sementara menunggu rayuan.

Untuk rekod, Da’i Syed didakwa pada 10 Disember 2020 atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di Seksyen 7, Shah Alam, kira-kira pukul 1.35 pagi pada 11 September 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button