
Adam Adli nasihat parti politik tidak balas provokasi sepanjang kempen PRN Melaka
KLEBANG – Semua parti politik diingatkan supaya menjaga disiplin dan nama baik masing-masing sepanjang tempoh berkempen bagi mengelakkan tindakan vandalisme serta provokasi yang boleh mencemarkan proses demokrasi.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim berkata, perbuatan merosakkan bahan kempen parti lain tidak akan memberikan sebarang kelebihan kepada mana-mana pihak yang bertanding.
Menurutnya, semua calon dan jentera parti perlu mengamalkan sikap profesional serta tidak bertindak melampaui batas meskipun berdepan provokasi daripada pihak lawan.
“Nasihat saya, tak menang siapa-siapa pun kalau kita buat vandalisme, burukkan bahan kempen orang lain dan sebagainya.
“Kita tidak mahu perkara sebegini menjadi satu norma dalam kempen pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Lepak Santai bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor kawasan Lembah Jaya (N20), Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, di sini.
Mengulas laporan polis yang dibuat Pakatan Harapan (PH) berhubung kejadian kerosakan bendera kempen di dua lokasi, Adam Adli turut mengingatkan jentera parti supaya tidak bertindak membalas sebarang provokasi.
Sebaliknya, beliau berkata tindakan membuat laporan polis dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa merupakan langkah sewajarnya bagi memastikan insiden berkenaan ditangani mengikut saluran undang-undang.
“Peringatan juga kepada rakan-rakan daripada Pakatan Harapan, sekiranya ada provokasi ke atas kita, jangan bertindak balas.
“Kita sudah buat laporan polis dan biarkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan terdapat beberapa aduan berkaitan perjalanan kempen yang sebelum ini turut dibangkitkan kepada pihak media, termasuk perkara melibatkan tingkah laku calon serta kemungkinan pelanggaran peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bagaimanapun, katanya, PH tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu merupakan kesalahan, sebaliknya bertanggungjawab mengumpulkan maklumat dan fakta sebelum mengemukakan aduan kepada SPR untuk tindakan lanjut.
“Kita ambil maklumat, kumpulkan fakta dan failkan kepada pihak SPR untuk tindakan mereka. Itu tindakan yang kita ambil sekarang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














