BERITA SEMASA

Farzana yakin pengalaman bukan diukur berdasarkan usia

MELAKA – Pengalaman seseorang calon untuk menjadi wakil rakyat tidak seharusnya dinilai berdasarkan faktor usia semata-mata, sebaliknya keikhlasan dan kesungguhan membantu rakyat menjadi keutamaan.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir, 26, berkata komitmen untuk turun padang, mendengar keluhan penduduk serta mengenal pasti isu setempat merupakan antara perkara penting dalam membina keyakinan pengundi.

Menurutnya, meskipun berdepan tanggapan calon muda kurang pengalaman, beliau percaya kesungguhan membawa perubahan mampu meyakinkan masyarakat untuk memberikan mandat.

“Pengalaman bukan diukur berdasarkan usia semata-mata, tetapi selagi mana kita ada tekad, niat dan keikhlasan untuk terus membantu rakyat, turun padang serta mencari isu-isu setempat, insya-Allah pengundi akan percaya kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Lepak Santai bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor kawasan Lembah Jaya (N20), Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Mengulas pendekatan kempen, Farzana berkata beliau memilih untuk mendekati golongan belia menerusi program santai seperti sesi minum kopi dan aktiviti yang bersesuaian dengan minat anak muda.

Katanya, pendekatan itu penting memandangkan golongan berusia 18 tahun ke atas kini mempunyai hak mengundi dan suara mereka perlu diberikan perhatian.

“Sebagai seorang Gen Z, kita cuba dekati anak-anak muda dengan cara seperti ini, melalui program santai, kopi dan aktiviti belia.

“Insya-Allah, kita juga akan mengadakan program futsal untuk golongan belia di Klebang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata hasil gerak kerja di lapangan sebelum ini membolehkannya mengenal pasti beberapa isu yang memerlukan perhatian, termasuk masalah nelayan, pesawah, banjir serta kebajikan wanita muda.

Menurutnya, antara perkara yang ingin diperjuangkan ialah isu wanita yang berdepan kekangan pendapatan sehingga terpaksa bergantung sepenuhnya kepada suami.

Beliau turut membangkitkan masalah banjir di Seberang Gajah yang didakwa masih belum diselesaikan sejak kira-kira 20 tahun lalu.

“Jika dipilih sebagai wakil rakyat, kita akan cuba selesaikan dengan berganding bahu dan bekerjasama dengan agensi serta kerajaan untuk mencari penyelesaian sebaik mungkin,” katanya.

Menyentuh potensi ekonomi kawasan Klebang, Farzana berpandangan sektor pelancongan perlu terus diperkasakan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, khususnya golongan belia.

Katanya, kawasan sekitar Dataran Klebang dan Pantai Klebang mempunyai potensi untuk dibangunkan menerusi penambahbaikan infrastruktur serta pembangunan kemudahan pelancongan.

“Klebang sememangnya dikenali sebagai destinasi pelancongan. Jadi, mungkin kita boleh naik taraf dari segi infrastruktur dan pembangunan untuk membuka lebih banyak peluang kepada penduduk tempatan,” katanya.

Sementara itu, Farzana berkata penerimaan masyarakat berbilang kaum terhadap dirinya juga positif, termasuk komuniti Cina yang dikenalinya sejak zaman persekolahan.

Katanya, kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Mandarin juga menjadi kelebihan ketika mendekati komuniti berkenaan sepanjang gerak kerja di kawasan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button