CityUHK lakar sejarah tembusi kelompok lima universiti terbaik Asia
HONG KONG – City University of Hong Kong (CityUHK) melakar pencapaian bersejarah apabila melonjak ke kedudukan keempat dalam Penarafan Universiti Asia Quacquarelli Symonds (QS) 2027, sekali gus menembusi kelompok lima universiti terbaik di Asia.
Berdasarkan penarafan yang membabitkan 1,725 institusi pengajian tinggi di seluruh rantau Asia, CityUHK naik tiga anak tangga berbanding tahun sebelumnya untuk berada di tempat keempat Asia dan kedua terbaik di Hong Kong.
Pencapaian sektor pendidikan tinggi Hong Kong turut melakar rekod tersendiri tahun ini apabila tiga universitinya berjaya tersenarai dalam kelompok lima teratas di Asia, sekali gus mengukuhkan kedudukan bandar raya berkenaan sebagai hab pendidikan antarabangsa.
Pemangku Presiden CityUHK, Profesor Chun-Sing Lee berkata, kejayaan memasuki kelompok lima terbaik Asia mencerminkan komitmen warga akademik dalam memacu penyelidikan berimpak tinggi serta menarik bakat global.
CityUHK turut menerima dua anugerah utama daripada QS iaitu Research and Discovery Champions bagi kecemerlangan reputasi akademik serta impak sitasi, dan Learning Experience Champions atas penyediaan persekitaran pembelajaran berkualiti tinggi.
“Sebagai institusi global yang berakar umbi di Hong Kong, CityUHK akan terus memajukan kerjasama rentas disiplin, memperluas pertukaran sarjana antarabangsa dan menyokong inisiatif kerajaan ‘Study in Hong Kong’ bagi memperkukuh peranan wilayah ini sebagai hab pendidikan global,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam senarai institusi Hong Kong, The University of Hong Kong mengungguli tangga pertama di Asia, diikuti CityUHK di tempat keempat, The Chinese University of Hong Kong di tangga kelima, manakala The Hong Kong Polytechnic University dan The Hong Kong University of Science and Technology masing-masing berkongsi kedudukan kesembilan.
CityUHK turut mencatat kecemerlangan menerusi indikator penilaian utama apabila mengungguli tangga pertama di Asia bagi tiga kategori, iaitu Staf berkelulusan PhD, Fakulti Antarabangsa dan Pelajar Pertukaran ke Luar Negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














