JKM kesan waris bayi ditinggalkan ibu di hospital
JOHOR BAHRU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan waris seorang bayi lelaki yang dipercayai ditinggalkan ibu kandungnya selepas wanita warga Indonesia itu mendakwa tidak mampu menanggung kos bil hospital.
Bayi berkenaan dilahirkan pada 19 Mei lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada 11 Jun akibat komplikasi kesihatan.
Pegawai Pembangunan Masyarakat Unit Pembangunan Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai, Rasilah Rashid berkata, pada awalnya ibu bayi itu masih boleh dihubungi dan memaklumkan hasrat untuk menjaga anaknya.
“Namun wanita itu kemudian mendakwa gagal menjaga bayinya kerana tidak mampu membayar bil hospital.
“Difahamkan pegawai perubatan HSA membuat laporan polis pada 10 Julai lalu sebelum bayi itu dirujuk ke JKM bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, ibu kandung bayi itu dikenali sebagai Rista Pardos dan alamat terakhirnya direkodkan di Jalan Seri Putri 4/2, Taman Putri, Kulai.
Bagaimanapun, wanita berkenaan gagal dihubungi dan tidak dapat dikesan di alamat kediaman terakhirnya bagi membincangkan masa depan bayi itu.
Buat masa ini, bayi yang dinamakan Arjuna Putra itu ditempatkan di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak dan berada dalam keadaan sihat.
Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai waris bayi berkenaan diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Daerah Kulai, Norziah Aman menerusi talian 07-662 2990.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








