BERITA SEMASA

Penjenamaan stesen MRT Raja Uda mudahkan akses ke IJN

KUALA LUMPUR – Penjenamaan semula stesen MRT Raja Uda kepada MRT Raja Uda–Institut Jantung Negara (IJN) dijangka memudahkan urusan pesakit, keluarga dan pengunjung mendapatkan akses ke pusat rawatan jantung negara itu.

Inisiatif berkenaan turut menjadi usaha memperkukuh hubungan antara pengangkutan awam dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan, sekali gus menjadikan perjalanan ke hospital lebih mudah dan jelas.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya berkata, menerusi kerjasama itu, nama IJN kini menjadi sebahagian daripada identiti stesen berkenaan yang dipaparkan pada papan tanda, peta laluan serta pengumuman dalam tren sepanjang Laluan MRT Putrajaya.

Menurutnya, penjenamaan itu juga menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha memastikan perkhidmatan kepakaran lebih mudah diakses masyarakat, khususnya pesakit, keluarga, pelawat, pelajar dan kakitangan yang menuju ke hospital berkenaan.

“Bagi IJN, inisiatif ini bukan sekadar penjenamaan stesen kerana ia mencerminkan komitmen berterusan institusi tersebut untuk meningkatkan aksesibiliti dengan menyedari bahawa perjalanan pesakit bermula jauh sebelum mereka tiba di hospital.

“Hari ini, usaha kami bukan sekadar menghubungkan stesen MRT dengan hospital dan mewujudkan peluang untuk menghubungkan lebih ramai orang dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Bagi ramai pesakit kami dan keluarga mereka, perjalanan ke IJN bermula sebelum mereka tiba di pintu hospital di mana pengalaman penjagaan kesihatan itu menjadi lebih mudah, selesa dan senang diakses,” katanya.

ijn
Pelancaran penjenamaan Stesen MRT Raja Uda–Institut Jantung Negara (IJN) sebagai usaha memudahkan akses pesakit dan pengunjung ke hospital berkenaan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Penjenamaan Stesen MRT Raja Uda–Institut Jantung Negara (IJN) di sini, semalam.

Baca juga : IJN lakar sejarah jadi hospital pertama di Asia guna Sistem Affera™ Prism-2

Majlis itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud serta Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim.

Mengulas lanjut, Dr Shaiful Azmi berkata, sebagai pusat pakar jantung negara, IJN menerima pesakit dari seluruh Malaysia dan luar negara yang memulakan perjalanan mendapatkan rawatan dari kediaman masing-masing sebelum tiba di hospital.

Katanya, potensi kerjasama itu juga tidak terhad kepada kemudahan pengangkutan, sebaliknya boleh diperluas menerusi pendidikan kesihatan, kempen kesedaran dan program saringan terpilih bagi mendekatkan maklumat serta perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.

“Ribuan warga kota menggunakan MRT setiap hari dan bayangkan sekiranya perjalanan harian mereka turut menjadi peluang untuk mempelajari sesuatu tentang kesihatan jantung.

“Kami juga ingin menyatakan kesediaan IJN untuk bekerjasama dengan pihak kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memperluas inisiatif kesihatan jantung di seluruh Kuala Lumpur.

“Dengan menggabungkan kepakaran IJN dan jaringan kemudahan bandar raya, kita berpeluang menggalakkan pengesanan awal, pencegahan penyakit serta gaya hidup lebih sihat dan aktif,” katanya.

Sementara itu, Hannah berkata, kerjasama berkenaan adalah langkah yang dialu-alukan bagi memudahkan urusan pesakit dan keluarga mereka untuk berkunjung ke hospital.

Beliau berkata, aspek perjalanan pesakit ke hospital perlu diberi perhatian, khususnya membabitkan warga emas serta individu yang mempunyai pergerakan terhad.

“Kita juga perlu meneliti bagaimana pesakit sampai ke hospital, terutamanya warga emas dan mereka yang mempunyai pergerakan terhad. Saya mengalu-alukan komitmen DBKL untuk menaja laluan pejalan kaki berbumbung menuju ke IJN.

“Saya juga berharap agar kita dapat meneroka kerjasama dengan IJN dalam aspek kesedaran kesihatan jantung serta saringan awal di Kuala Lumpur.

“Kita harus membantu orang ramai mengesan masalah kesihatan lebih awal, dan bukannya menunggu sehingga mereka memerlukan rawatan di hospital,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button