SUKANBERITA SEMASA

KBS perkenal tiga dana sukan baharu untuk 2025

PUTRAJAYA – Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan tiga dana baharu bagi tahun 2025 sebagai langkah merakyatkan sukan dan memacu pembangunan industri sukan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dana tersebut melibatkan Geran Padanan Sukan (GPS), Dana Sukan Komuniti (DSK) dan Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).

“Pelaksanaan dana itu juga telah ditambah baik dari segi mekanisme dan terma rujukan permohonan berdasarkan maklum balas serta sambutan pada tahun 2024.

“Dana itu disasarkan bagi menyokong pelbagai aktiviti sukan yang melibatkan 103 jenis sukan seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

“Pendekatan itu akan membantu meningkatkan budaya gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat dan memperkasakan industri sukan negara,” katanya di sini hari ini.

Hannah turut berkata, semua pertandingan antarabangsa yang dianjurkan di Malaysia pada tahun 2025 memerlukan kelulusan daripada menteri.

“Bermula tahun 2026, kebenaran bertulis akan diwajibkan bagi mana-mana pihak yang mahu menawarkan diri sebagai tuan rumah acara sukan antarabangsa selaras dengan Seksyen 33, Akta Pembangunan Sukan 1997,” katanya lagi.

Geran Padanan Sukan (GPS) akan memberi peluang kepada badan sukan, kelab belia dan pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar untuk menganjurkan program sukan berprestasi tinggi di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Hannah berkata, pembiayaan sehingga 50 peratus kos program atau maksimum RM1 juta disediakan melalui kaedah tuntutan bayaran balik selepas program selesai.

“Dana Sukan Komuniti (DSK) pula bertujuan membantu pelaksanaan program pembangunan sukan komuniti termasuk aktiviti kecergasan, sukan dan rekreasi.

“Dana itu menawarkan bantuan kewangan dengan jumlah maksimum RM50,000, disalurkan secara pendahuluan 70 peratus dan baki 30 peratus selepas laporan lengkap diterima,” tambahnya lagi.

Selain itu, Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) memberi tumpuan kepada penganjuran pertandingan sukan kebangsaan dan antarabangsa serta penyertaan atlet ke kejohanan luar negara.

Permohonan tertakluk kepada jenis sukan yang disenaraikan di bawah Akta Pembangunan Sukan.

Hannah turut berkata, KBS tidak mengenakan sebarang caj, komisen atau fi untuk permohonan dana ini.

“Orang ramai yang berhadapan dengan insiden penyalahgunaan diminta melaporkan kepada Unit Integriti KBS melalui e-mel unit_integriti@kbs.gov.my.

“Pelaksanaan dana itu diharapkan dapat memupuk budaya sukan dalam kalangan masyarakat, memperkasakan pertubuhan sukan, serta meningkatkan prestasi atlet melalui penganjuran pertandingan yang lebih kompetitif,” ujarnya.

Maklumat lanjut mengenai permohonan dan garis panduan dana boleh diperoleh di laman web rasmi KBS di https://www.kbs.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button