UMNO seru kempen berhemah tetapi sebar fakta mengelirukan – Saifuddin Shafi
KUALA LUMPUR – UMNO disifatkan tidak konsisten apabila menyeru kempen politik dijalankan secara berhemah dan berakhlak, namun pada masa sama didakwa menyebarkan fakta mengelirukan berhubung isu projek pembangunan luar bandar.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Shafi Muhammad berkata, UMNO perlu memperbetulkan fakta berhubung arahan Kementerian Kewangan (MOF) yang menangguhkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu bagi projek jalan luar bandar.
Menurutnya, penangguhan SST tidak bermaksud projek berkenaan dibatalkan seperti yang didakwa, justeru UMNO tidak seharusnya mengelirukan rakyat dengan menyamakan kedua-dua perkara itu.
“MOF turut menghentikan kelulusan penggunaan kaedah Tender Terbuka Pra-Kelayakan Terpilih (TTPKT) bagi projek baharu susulan penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara.
“Ini soal tatacara perolehan dan pengurusan wang awam yang mesti dipertanggungjawabkan.
“Jangan campurkan penangguhan SST projek jalan luar bandar dengan dakwaan pembatalan menyeluruh projek jalan, bekalan air dan elektrik. Jika benar ada arahan pembatalan, kemukakan dokumen dan senarai projek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata, peruntukan pembangunan Sarawak dalam Belanjawan 2026 meningkat kepada RM6 bilion berbanding RM2.9 bilion pada 2022 di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, rekod itu tidak wajar diketepikan semata-mata untuk membina persepsi bahawa Sarawak dipinggirkan.
“Rakyat tetap mahu projek pembangunan disiapkan dan menggesa MOF serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyelesaikan isu berbangkit dengan segera, selain memberikan kepastian mengenai pelaksanaan projek yang terjejas,” katanya.
Mengulas seruan UMNO supaya kempen dijalankan secara berhemah dan berakhlak, Saifuddin berkata, beliau bersetuju dengan prinsip berkenaan, namun penyebaran fakta yang didakwanya tidak tepat bukan sebahagian daripada usaha tersebut.
Beliau turut membangkitkan dakwaan serta siasatan polis ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berhubung kenyataan pemimpin UMNO yang didakwa mengelirukan serta mengaitkan institusi diraja dengan parti politik.
“Menyeru pihak lain menjaga akhlak tetapi berdiam diri apabila pimpinan sendiri dipersoalkan ialah hipokrasi tahap tertinggi dan saya yakin Dr. Asyraf Wajdi bukan pemimpin seperti itu.
“Peraturan yang sama mesti dipraktikkan oleh semua pihak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pimpinan parti supaya memastikan ucapan dan tindakan jentera masing-masing tidak melampaui batas, sama ada di pentas kempen mahupun media sosial.
“Smua pihak seharusnya bertanding berdasarkan fakta, rekod perkhidmatan dan tawaran kepada rakyat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








