POLITIK

RoS perlu batalkan pemilihan UMNO sehingga keputusan bantahan diketahui

BERA – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) perlu mengeluarkan arahan supaya pemilihan UMNO bagi sesi 2023-2026 ditangguhkan.

Katanya, tindakan itu perlu kerana keputusan kepada bantahan usul tambahan yang memutuskan tiada pertandingan dua jawatan tertinggi UMNO itu masih belum diumumkan ROS.

Beliau berkata, keputusan dari badan berkuasa itu sepatutnya diumumkan sebelum tarikh tutup pemilihan UMNO bagi menentukan keabsahan pemilihan itu nanti.

“Apa akan jadi sekiranya ROS selepas ini membuat keputusan bahawa keputusan pada Perhimpunan Agung UMNO itu bertentangan dengan Perlembagaan (PAU).

“Ini akan menyebabkan semua jawatan perlu dipertandingkan. Apa jadi pada yang sudah hantar nama untuk bertanding jawatan Naib Presiden (sekarang), sebab ada yang nak bertanding jawatan Presiden,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Latihan Kebombaan Keselamatan Di Air di Waterfront Bera di sini hari ini.

Sehubungan itu Ismail Sabri menggesa ROS menangguhkan pemilihan UMNO sehingga keputusan mengenai siasatan atur cara PAU disahkan tidak bertentangan dengan peraturan.

“Sebab dalam satu klausa ada mengatakan bahawa ROS ada kuasa untuk menangguhkan setiap pemilihan.

“Jadi ROS patut gunakan perkara itu sehingga keputusan dibuat, jadi semua pemilihan ditangguhkan dahulu,” katanya.

Ditanya punca beliau tidak menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, beliau mengekalkan pendiriannya berhubung keputusan tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PUA) sebelum ini.

“Saya tak boleh setuju dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan. Bagi saya Perlembagaan menetapkan semua jawatan dalam UMNO perlu dipertandingkan di peringkat Bahagian tiga tahun sekali, itu ditetapkan oleh Perlembagaan.

“Kalau saya duduk di jawatan dua tertinggi itu, maka maksudnya saya setuju dengan perkara itu (tiada pertandingan).

“Bukan protes, bukan merajuk. Tapi saya tak boleh cakap lain, buat lain . Saya masih konsisten dengan pendirian saya,” katanya.

Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO menyerahkan notis bantahan keputusan PAU 2022 kepada ROS di Putrajaya.

Ahli UMNO Terengganu, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir mendakwa, usul tambahan mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan yang diluluskan PAU2022 tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan UMNO.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button