Lebih 828,000 kandungan perjudian dalam talian diturunkan – Fahmi
KUALA LUMPUR – Sebanyak 828,438 kandungan berkaitan perjudian dalam talian telah diturunkan bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 September 2026, manakala 7,411 laman sesawang perjudian disekat susulan permohonan MCMC.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tindakan membanteras aktiviti berkenaan dilaksanakan secara bersepadu oleh agensi berkaitan berdasarkan bidang kuasa masing-masing.
“Kerajaan melaksanakan tindakan secara bersepadu mengikut bidang kuasa agensi masing-masing.
“PDRM bertanggungjawab terhadap siasatan dan penguatkuasaan kesalahan perjudian, manakala MCMC memberikan sokongan teknikal termasuk tindakan berkaitan sekatan laman sesawang dan penurunan kandungan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks jawapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, Khamis.
Menurut beliau, kerjasama antara MCMC dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diperkukuh menerusi operasi bersepadu bagi mengekang kegiatan perjudian dan pertaruhan dalam talian.
“Antara operasi yang dilaksanakan pada tahun ini ialah Op JOL dan Op Soga XI, termasuk tindakan terhadap aktiviti pertaruhan berkaitan perlawanan bola sepak sempena Piala Dunia FIFA 2026.
“Melalui Op Soga XI, tindakan penguatkuasaan turut memberi tumpuan kepada kegiatan perjudian dan pertaruhan dalam talian berkaitan perlawanan bola sepak sempena Piala Dunia FIFA 2026,” tambahnya.
Fahmi berkata, MCMC juga bekerjasama dengan PDRM dan pemberi perkhidmatan menerusi Op Pancing serta Op Delusi bagi mengekang penyebaran mesej dan pautan yang digunakan untuk menarik pengguna mengakses platform dalam talian yang menyalahi undang-undang.
Beliau menjelaskan, operasi berkenaan turut memberi tumpuan kepada penyebaran SMS secara berskala menggunakan peralatan Fake Base Transceiver Station (Fake BTS).
“Usaha mengekang penyebaran mesej dan pautan melalui rangkaian komunikasi ini turut menyokong tindakan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan saluran komunikasi sebagai medium penyebaran kandungan, promosi dan tarikan kepada pengguna untuk mengakses platform yang menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang dalam talian,” katanya.
Kerajaan akan terus menggunakan pendekatan bersepadu bagi memastikan tindakan terhadap perjudian dalam talian dapat dilaksanakan melalui penguatkuasaan undang-undang serta sokongan teknikal berkaitan sekatan kandungan dan laman sesawang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








