BERITA SEMASA

Sasaran KDNK SG4 RM723 bilion disifatkan tidak realistik

KUALA LUMPUR – Sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM723.75 bilion menjelang 2050 yang digariskan dalam pelan ekonomi empat negeri di bawah pentadbiran pembangkang menerusi SG4 Group Sdn Bhd disifatkan tidak realistik sekiranya tidak disokong asas pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

Ketua Pengarang Utusan Melayu Plus, Zulkiflee Bakar berkata, sasaran itu memerlukan ekonomi gabungan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis berkembang sebanyak 5.43 kali ganda daripada nilai semasa RM133.35 bilion dalam tempoh 25 tahun.

Menurut beliau, sasaran berkenaan menuntut kadar pertumbuhan kompaun tahunan (CAGR) sekitar tujuh peratus secara konsisten, sedangkan prestasi ekonomi beberapa negeri terbabit masih jauh daripada paras itu.

Beliau berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), KDNK semasa Kedah ialah RM56.3 bilion, Terengganu RM40.6 bilion, Kelantan RM29.78 bilion dan Perlis RM6.68 bilion.

“Apabila unjuran politik ini diukur menggunakan neraca logik matematik dan sains ekonomi, sasaran Dr. Haim Hilman bukan sahaja tidak realistik, malah kelihatan seperti satu lagi episod dongeng ‘angan-angan Mat Jenin’ zaman moden,” katanya dalam analisis berhubung pelan ekonomi SG4.

Zulkiflee berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2025 menunjukkan Kedah dan Kelantan masing-masing dianggarkan berkembang sekitar 4.1 peratus, Perlis pada kadar dua peratus, manakala Terengganu hanya 1.6 peratus.

Katanya, angka itu jauh lebih rendah berbanding kadar pertumbuhan tujuh peratus yang diperlukan SG4 untuk mencapai sasaran berkenaan.

Malah, sasaran pertumbuhan ekonomi negara dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) juga ditetapkan pada kadar lebih sederhana, iaitu antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun.

“Logik akal mana yang boleh kita pakai untuk percaya bahawa SG4, yang didominasi negeri berasaskan pertanian dan industri asas, mampu mencatatkan pertumbuhan luar biasa melebihi paras KDNK nasional secara berterusan?” katanya.

Beliau turut membandingkan struktur ekonomi empat negeri itu dengan Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak yang mempunyai asas industri lebih kukuh, termasuk sektor pembuatan berteknologi tinggi, kewangan dan pelaburan berskala besar.

Menurutnya, kewujudan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), potensi industri unsur nadir bumi (REE) serta projek pemulihan loji rawatan air (LRA) di negeri-negeri SG4 tidak semestinya menjamin pencapaian sasaran ekonomi berkenaan.

Zulkiflee berkata, impak ECRL terhadap pertumbuhan KDNK tahunan di kawasan stesen utama dianggarkan sekitar 1.8 peratus, manakala industri REE negara diunjurkan menyumbang kira-kira RM50 bilion menjelang 2035.

Bagaimanapun, katanya, sumbangan itu masih belum mencukupi untuk merapatkan jurang besar antara KDNK semasa SG4 dengan sasaran RM723.75 bilion.

“Tanpa asas ketersediaan utiliti bersepadu yang matang dan pembiayaan modal yang agresif, impak ECRL dan REE hanya akan bertindak sebagai penyokong pertumbuhan linear (biasa).

“Ini membuktikan bahawa sasaran RM723 bilion tersebut kekal sebagai angka aspirasi politik yang tidak berpijak di bumi nyata,” katanya.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai keutamaan pembangunan negeri apabila masalah kemudahan asas, khususnya bekalan air bersih, masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Katanya, krisis air yang berlarutan di Kelantan serta isu rizab margin bekalan air bersih yang kritikal di beberapa kawasan di Kedah perlu diberi perhatian serius sebelum negeri-negeri berkenaan mampu menarik pelaburan industri bernilai tinggi.

Menurutnya, pelabur sektor pembuatan memerlukan jaminan bekalan air dan elektrik yang stabil serta infrastruktur yang mencukupi, bukannya sekadar unjuran pertumbuhan ekonomi yang besar.

“Pelabur industri pembuatan tidak memerlukan retorik politik; mereka memerlukan jaminan utiliti, elektrik, dan air yang stabil. Tanpa infrastruktur asas yang kukuh, impian pelaburan itu hanyalah sebuah fatamorgana,” katanya.

Sehubungan itu, Zulkiflee menegaskan kerajaan negeri perlu memberi keutamaan kepada penyelesaian masalah rakyat dan memperkukuh ekonomi berdasarkan keupayaan semasa sebelum menetapkan sasaran pembangunan jangka panjang.

Beliau berkata, usaha menangani krisis air di Kelantan, memulihkan infrastruktur Kedah, meningkatkan pendapatan petani di Perlis dan memperkukuh ekonomi Terengganu perlu menjadi keutamaan.

“Keberhasilan sesebuah kepimpinan diukur pada paip air rakyat yang mengalir jernih hari ini, bukannya pada angka RM723 bilion di awan-awangan 25 tahun akan datang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button