KEMENTERIAN PERTAHANAN

Malaysia perkukuh kerjasama pertahanan dengan AS, Jepun

KUALA LUMPUR – Malaysia komited memperkukuh kerjasama pertahanan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Jepun bagi memastikan keamanan, kestabilan serta keselamatan serantau terus terpelihara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama itu perlu terus diperkasakan menerusi mekanisme sedia ada ASEAN, termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus), selain memperkukuh perpaduan dan peranan utama ASEAN dalam seni bina keselamatan serantau.

“Malaysia mengalu-alukan penglibatan AS yang lebih kukuh dan konstruktif di Asia Tenggara, mengambil kira hubungan lama negara itu dengan ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertahanan serta hubungan rakyat dengan rakyat.

“Malaysia menghargai hubungan ini dan mengiktiraf sumbangan besar AS terhadap kerjasama pertahanan dan keselamatan kita.

“Kami berharap AS terus memainkan peranan lebih kukuh dan konstruktif dalam menyumbang kepada keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau,” katanya dalam Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-AS hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kerjasama pertahanan perlu diperluas menerusi latihan bersama, pembangunan keupayaan serta pertukaran profesional ketenteraan bagi meningkatkan kesalingoperasian, keyakinan bersama dan keupayaan menangani cabaran keselamatan.

“Bagaimanapun, pengukuhan hubungan dengan rakan luar tidak seharusnya mengabaikan perpaduan dan kepusatan ASEAN, sebaliknya pendekatan inklusif perlu dikekalkan tanpa memaksa negara anggota memilih pihak tertentu,” katanya.

Dalam Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Jepun pula, beliau menekankan keperluan menjadikan kerjasama pertahanan lebih fleksibel, bersepadu dan responsif terhadap cabaran keselamatan baharu, termasuk perubahan iklim, ancaman siber serta perkembangan kecerdasan buatan.

Beloau berkata, ASEAN perlu memanfaatkan mekanisme sedia ada dan mengelakkan pertambahan inisiatif yang boleh membebankan sumber serta keupayaan negara anggota yang berbeza.

“Kepentingan kerjasama merentas kumpulan kerja pakar menerusi latihan yang menggabungkan pelbagai bidang kepakaran, seperti yang ditunjukkan dalam latihan Trident Resolve tahun ini membabitkan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana (HADR), perubatan ketenteraan serta keselamatan siber,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Jepun mempunyai kepakaran teknologi dan keupayaan yang boleh membantu ASEAN memperkukuh latihan khusus, pemindahan teknologi serta pembangunan kapasiti, khususnya dalam tindak balas bencana, keselamatan maritim, daya tahan siber dan teknologi baharu.

“Matlamat kita adalah untuk memperkukuh keupayaan dan daya tahan ASEAN sendiri, bukannya mewujudkan kebergantungan jangka panjang terhadap bantuan luar,” katanya.

Beliau turut berkata, kerjasama dengan AS, Jepun dan rakan dialog lain perlu berpaksikan keputusan bersama serta konsensus ASEAN bagi memastikan rantau ini kekal aman, bersatu dan makmur.

“Malaysia menyatakan harapan agar kerjasama pertahanan dengan AS dapat diperkukuh menerusi Rangka Kerja Kerjasama Pertahanan AS-ASEAN yang dijangka diteruskan pada tahun depan, selain memanfaatkan kitaran keenam Kumpulan Kerja Pakar ADMM-Plus bagi tempoh 2027 hingga 2030 untuk menjadikan kerjasama serantau lebih berfokus dan berkesan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button