‘Ini revolusi bola sepak negara’ – TMJ bakar semangat pemain sebelum benam Vietnam 4-0
KUALA LUMPUR – Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meniupkan semangat juang kepada pemain skuad Harimau Malaya menerusi amanat berinspirasi tinggi sebelum perlawanan menentang Vietnam yang berakhir dengan kemenangan bergaya 4-0.
Ucapan yang disampaikan TMJ di bilik persalinan semasa rehat separuh masa itu kini tular di media sosial, memaparkan ketegasan serta iltizam baginda untuk melihat bola sepak Malaysia berada pada tahap tertinggi di rantau ini.

“Kita sedang cuba membawa bola sepak Malaysia ke tahap lain. Ini adalah sebuah revolusi,” titah baginda dalam rakaman video yang dikongsikan selepas perlawanan.
Menurut TMJ, sebarang usaha dan perancangan tidak akan membawa makna sekiranya tidak diterjemah kepada keputusan dan pencapaian di atas padang.
“Apa-apa pun yang kita bina, tiada maknanya jika kita tidak mempunyai keputusan. Ingat ini,” ujar baginda
Baginda menggesa pemain agar kekal fokus dan memberikan segalanya dalam permainan.
Baginda turut menyentuh mengenai kritikan serta keraguan segelintir pihak terhadap hala tuju baharu bola sepak negara, namun menegaskan bahawa perubahan memerlukan keberanian dan keyakinan.
“Ada sesetengahnya meragui kita. Tapi tidak mengapa. Kita sedang melakukan sesuatu yang baharu. Mereka tidak biasa dengannya.
“Biarkan persembahan anda bercakap lebih kuat daripada apa yang mereka fikirkan,” katanya lagi.
Jelas TMJ, tanggungjawab untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap skuad kebangsaan terletak di bahu setiap pemain yang turun berjuang.
“Jika kita mengubah bola sepak di tanah air, semuanya disebabkan anda. Anda adalah ksatria. Anda membuat rakyat kembali percaya. Dan itulah yang kita mahukan.” katanya lagi.
Baginda menutup ucapan dengan menyeru kesatuan dan semangat juang yang tinggi dalam pasukan.
“Tunjukkan warna kita. Rasa berjuang. Ini adalah rumah kita. Ayuh.”
Susulan amanat tersebut, skuad negara tampil lebih garang dan tersusun, sekali gus membenam Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kemenangan itu dianggap sebagai simbol kebangkitan baharu Harimau Malaya serta kejayaan usaha reformasi bola sepak yang kini digerakkan pelbagai pihak, termasuk TMJ yang memainkan peranan besar dalam membawa dimensi baharu kepada pasukan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








