JENAYAH & MAHKAMAH

Kematian dalam tahanan: Kecederaan Noorizwan selari trauma tumpul – Polis

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kecederaan luaran yang ditemukan pada beberapa bahagian tubuh Allahyarham Noorizwan Zulkefly, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis, dipercayai berpunca daripada trauma tumpul dan bukan akibat perbuatan sendiri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, perkara itu disahkan Pakar Perunding Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) selepas menjalankan bedah siasat terhadap Allahyarham.

Susulan penemuan itu, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman mengambil alih siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu perbuatan dengan sengaja menyebabkan cedera parah bagi memeras pengakuan bersalah atau memaksa harta dipulangkan.

“Klasifikasi ini dibuat selepas hasil rakaman percakapan Pakar Perunding Perubatan Forensik HCTM yang menjalankan bedah siasat, mengesahkan terdapat kecederaan luaran di beberapa bahagian tubuh si mati di mana corak kecederaan tersebut adalah selari dengan trauma tumpul bukan akibat pelakuan sendiri,” katanya menerusi kenyataan.

Baca juga: Kes Kematian Noorizwan: KDN tidak kompromi jika berlaku pelanggaran – Saifuddin

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan juga dikenakan denda.

Bagaimanapun, Kumar berkata laporan lengkap bagi mengesahkan punca kematian Noorizwan masih belum diperoleh, manakala PDRM masih menunggu maklumat berkenaan daripada pihak hospital.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti anggota dan pegawai polis yang terlibat dalam pengendalian serta pengurusan mangsa semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau menegaskan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional tanpa sebarang elemen ‘cover up’ bagi memastikan keadilan jenayah ditegakkan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurutnya, PDRM komited memastikan ketelusan dan integriti siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan tanpa memihak kepada mana-mana individu, selain tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku.

Terdahulu, Noorizwan ditahan di IPD Cheras bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Allahyarham kemudian dirujuk ke HCTM, Cheras, pada 30 September lalu untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.52 pagi, 1 Oktober lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button