Empat kanak-kanak Myanmar ditahan, disyaki ugut wanita warga emas
BUKIT MERTAJAM – Empat kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia antara sembilan hingga 12 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan jenayah terhadap seorang wanita berusia 71 tahun di Taman Sri Rambai, di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu semalam sebelum siasatan dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang terbabit.
“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6 petang pada 22 Oktober lalu apabila wanita berkenaan menegur sekumpulan kanak-kanak yang bermain di taman permainan berhampiran rumahnya kerana membuat bising.
“Teguran tersebut bagaimanapun tidak diendahkan. Pengadu mendakwa kumpulan berkenaan membaling batu dan melontarkan batang besi ke arahnya, namun objek itu tidak terkena pengadu.
“Perbuatan kumpulan tersebut menyebabkan pengadu berasa takut sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan laporan itu, polis melaksanakan beberapa serbuan berasingan di sekitar Taman Sri Rambai sebelum menahan keempat-empat kanak-kanak terbabit. Beberapa barang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian turut dirampas untuk membantu siasatan.
Menurutnya, kesemua mereka telah direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Dalam pada itu, Nik Aminuddin mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengawasi tingkah laku anak-anak serta menerapkan nilai menghormati orang lain sejak kecil.
Beliau turut menggesa masyarakat agar mengekalkan hubungan baik sesama jiran dan segera melaporkan kepada polis sekiranya berlaku sebarang ancaman keselamatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








