BERITA SEMASA

Pelaburan Battersea terlalu tinggi, kerajaan usaha pulihkan kerugian

KUALA LUMPUR – Pelaburan awal dalam projek pembangunan semula Stesen Kuasa Battersea di London, United Kingdom (UK) terlalu tinggi sehingga mengakibatkan kerugian, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, usaha sedang dilakukan untuk memulihkan pelaburan berkenaan, namun nilai pelaburan asal yang terlalu tinggi menjadi antara faktor kerugian itu berlaku.

“Walaupun usaha pemulihan pelaburan itu sedang dilakukan, pelaburan asal terlalu tinggi dan sudah mengalami kerugian.

“Rasional yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Gudang itu tepat. Mengapa kita terlalu terburu-buru untuk melabur di luar?” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin mengetahui jumlah pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam projek pembangunan yang mengambil masa 15 tahun itu, selain manfaat ekonominya.

Projek pembangunan semula Battersea Power Station seluas 16.9 hektar itu merupakan pembangunan semula bandar bercampur berskala besar yang diterajui konsortium Malaysia, membabitkan S P Setia Bhd, Sime Darby Property Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Sehingga kini, pemegang saham dari Malaysia sudah melabur lebih £5 bilion (RM) dalam pembangunan berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya 20 peratus pelaburan GLIC dan GLC perlu dilaksanakan dalam negara sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, kadar pelaburan domestik itu akan ditingkatkan secara berperingkat mengikut kesediaan dan keupayaan syarikat terbabit.

“Pada masa sama, kita tidak boleh nafikan sebahagian besar pelaburan di luar negara turut menjana keuntungan yang tinggi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button