BERITA SEMASA

Dakwaan MyDigital ID tak selamat, ada agenda tersembunyi tidak benar – Mimos

PUTRAJAYA – Dakwaan segelintir pihak bahawa MyDigital ID tidak selamat dan mempunyai agenda tersembunyi adalah tidak berasas serta tidak benar.

Ketua Sektor Teroka Teknologi Mimos, Saat Shukri Embong berkata, teknologi itu yang dibangunkan sendiri oleh Mimos adalah selamat dan tidak mungkin terlibat dengan pelanggaran data seperti yang digembar-gemburkan.

Beliau berkata, ini kerana maklumat yang diperoleh sistem itu adalah daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Pihak Mimos tidak pegang data pengguna, setiap data tersebut adalah daripada JPN dan terletak bawah bidang kuasa mereka.

“Mimos terbabit dalam aspek pelaksanaan dan teknikal manakala pihak berkuasa kawal selia terakhir ialah JPN sebaik saja proses pendaftaran selesai,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu katanya, dari segi kuasa kawal selia, ia juga tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Mengulas lanjut, katanya, MyDigital ID ialah alat pengesahan dan pengenalan diri digital untuk digunakan sektor awam dan swasta bagi mengesahkan identiti pengguna ketika membuat transaksi dalam talian.

Jelasnya, sistem itu bukan untuk menggantikan sistem MyKad tetapi menawarkan platform yang dipercayai dan selamat dengan diperkemas pengesahan identiti dalam talian bagi membendung penipuan identiti semasa melakukan transaksi digital.

Ditanya bila sistem itu akan dibuka kepada orang ramai, beliau berkata ketika ini sistem tersebut diperkenalkan terlebih dahulu kepada jemaah menteri dan pegawai kerajaan.

Beliau berkata, sistem itu akan dibuka kepada orang ramai pada 1 Julai 2024.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan melantik Mimos sebagai agensi pelaksana program MyDigital ID dengan peruntukan awal sebanyak RM80 juta.

Pada Isnin lalu, Anwar menjadi individu pertama yang mendaftar MyDigital ID.

Namun pengenalan terhadap sistem itu mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai malah ada segelintir pihak yang mendakwa sistem itu tidak selamat kerana data peribadi boleh terdedah dengan meluas.

Selain itu terdapat juga pihak yang percaya individu yang mendaftar sistem itu akan disuntik sejenis cip ke dalam badan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button