BERITA SEMASA

MBPP sita dua premis tanpa lesen kendalian warga asing

BATU MAUNG – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyita dua premis tanpa lesen yang dikendalikan warga asing di Permatang Damar Laut di sini, dalam Op Tegas pada Jumaat lalu.

MBPP berkata, operasi pada jam 8.30 malam itu dijalankan menerusi kerjasama Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan serta Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah kedai makanan dan minuman serta kedai gunting rambut yang didapati beroperasi tanpa lesen sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga warga asing berada di premis kedai makanan dan minuman, manakala seorang lagi warga asing menguruskan operasi kedai gunting rambut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pemeriksaan turut mendapati keadaan kedai makanan dan minuman berkenaan kotor selain terdapat penemuan lipas.

Susulan itu, MBPP mengambil tindakan menutup kedua-dua premis berkenaan serta menyita peralatan perniagaan terbabit. Kedua-duanya turut diarahkan menghentikan operasi serta-merta.

Notis bertulis juga diserahkan kepada pihak berkaitan dengan arahan supaya tidak membuka atau merosakkan pengedap sitaan, memasuki premis bagi tujuan perniagaan atau meneruskan sebarang aktiviti perniagaan di dalam dan di luar premis.

MBPP berkata, tindakan itu dilaksanakan berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan keselesaan awam terus terpelihara.

Pihak berkuasa tempatan itu turut memberi amaran bahawa tiada kompromi terhadap perniagaan tanpa lesen atau pelanggaran syarat ditetapkan, manakala tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan semua aktiviti perniagaan mematuhi undang-undang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button