Pengkritik Presiden Rwanda ditemukan maut dipenggal di negara jiran
LONDON – Pengkritik lantang Presiden Rwanda, Paul Kagame, ditemukan maut dengan kepalanya dipenggal di Uganda.
Laporan BBC yang memetik kenyataan jurucakap polis Uganda, Kituuma Rusoke, sebagai berkata, jasad Robert Kabera,50, ditemukan penduduk tempatan di pinggir bandar Kampala, hujung minggu lalu dengan kepalanya masih belum ditemukan.
Setakat ini, kerajaan Rwanda masih belum memberi sebarang ulasan berkenaan pembunuhan itu.
Bagaimanapun, beberapa pengkritik Kagame sebelum ini turut ditemukan mati dipercayai akibat dibunuh, sama ada di Rwanda mahupun di luar negara.
Sementara itu, balu Kabera, Jeanne d’Arc Rwigema Uwizeye memberitahu BBC Great Lakes dalam satu mesej bertulis bahawa beliau kini bimbang akan keselamatan keluarganya.
“Ia sangat menakutkan. Saya rasa hilang arah, anak-anak dan saya tidak mempunyai keselamatan,” katanya.
Menurut keluarganya, Kabera telah melawat ke tapak pembinaan kira-kira 45 km (30 batu) di luar Kampala sebelum kematiannya.
Mendiang Kabera, yang juga bekas sarjan mejar tentera Rwanda, melarikan diri ke negara jiran Uganda selepas dituduh melakukan gangguan seksual.
Mendiang yang menafikan tuduhan itu turut memohon suaka di Uganda dengan alasan penganiayaan politik.
Kabera membina profil awam sebagai seorang pemuzik dan YouTuber, menarik lebih 144,000 pengikut ke saluran beliau yang menampilkan lebih 800 video, di mana kebanyakannya mengkritik Kagame dan pentadbirannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







